Agihan terkumpul wakaf tunai cecah RM450 juta pada 2025, kutipan naik 80.04 peratus

5 Feb 2026, 6:00 AM
Agihan terkumpul wakaf tunai cecah RM450 juta pada 2025, kutipan naik 80.04 peratus
Agihan terkumpul wakaf tunai cecah RM450 juta pada 2025, kutipan naik 80.04 peratus

SHAH ALAM, 5 FEB: RM450.28 juta wang wakaf terkumpul telah diagihkan dalam tempoh 2011 hingga 2025 di Selangor, melibatkan pelbagai sektor kebajikan, ibadah dan pembangunan sosial.

Menurut Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), agihan pada 2025 yang bernilai RM49.20 juta merangkumi wakaf tunai berjumlah RM7.24 juta, wakaf khas (RM40.74 juta) dan manfaat wakaf (RM1.22 juta).

Bagi agihan wakaf tunai melibatkan pelbagai kategori termasuk tuntutan fisabilillah, agihan Tabung Wakaf serta projek stesen minyak.

Manakala bagi wakaf khas, agihan melibatkan tuntutan projek wakaf kepada masjid dengan peruntukan (RM22.19 juta), yayasan dan persatuan (RM8.41 juta), surau (RM6.43 juta) serta sekolah, madrasah dan maahad sebanyak RM3.71 juta.

Bagi manfaat wakaf pula, penerima manfaat termasuk masjid, surau, rumah anak yatim, BaitulMal MAIS, sekolah rendah agama, dan maahad tahfiz.

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah RM50,000 kepada KAFA Integrasi Baitul Hikmah, Bandar Baru Salak Tinggi. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS

Rekod PWS menunjukkan hasil agihan tunai wakaf terkumpul pada 2011 adalah RM11.15 juta, 2015 (RM79.97 juta), 2021 (RM263.97 juta), 2022 (RM303.92 juta), 2023 (RM355.7 juta) dan 2024 (RM401.08 juta).

Dalam masa sama, prestasi kutipan tunai wakaf turut menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatat kenaikan 80.04 peratus pada tahun 2025, menjadikan jumlah kutipan terkumpul sebanyak RM667.69 juta sejak 2011.

Kutipan tersebut merangkumi wakaf tunai bernilai RM13.44 juta, wakaf khas (RM64.05 juta) serta manfaat wakaf bernilai RM2.55 juta hasil sewaan aset wakaf.

Terdahulu Pengerusi PWS, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir membentangkan dialog ini sempena Chairman’s Dialogue: Sinergi Wakaf Selangor Bersama GLC & Korporat yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel and Suites, Shah Alam, pada 3 Februari.

PWS memaklumkan, program itu menjadi platform strategik bagi memperkukuh kefahaman, kepercayaan serta sinergi pembangunan wakaf di peringkat negeri.

"Dialog itu menekankan peranan wakaf sebagai instrumen ekonomi sosial yang relevan, mampan dan mampu digerakkan secara strategik bersama ekosistem korporat pada masa kini.

"Pendekatan ini selari dengan aspirasi PWS untuk mengarusperdanakan wakaf dalam landskap pembangunan ekonomi dan sosial Selangor secara inklusif dan berdaya tahan," menurut agensi itu lagi.