HPPKS 2026 buka peluang peniaga kecil perluas pasaran

15 Nov 2026, 3:08 AM
HPPKS 2026 buka peluang peniaga kecil perluas pasaran
HPPKS 2026 buka peluang peniaga kecil perluas pasaran

SHAH ALAM, 15 NOV: Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2026 bukan sekadar tempat berniaga, tetapi turut membuka peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk, meluaskan pasaran dan membina jaringan perniagaan.

Program dua hari yang berlangsung dari 14 hingga 15 November di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu juga memberi pendedahan kepada peniaga kecil mengenai penggunaan teknologi digital dalam pemasaran dan pengurusan perniagaan.

Selain membuka peluang menjana pendapatan, penganjuran itu menyokong agenda pendigitalan perniagaan Kerajaan Negeri menerusi Platform Selangor (PLATS) bagi meningkatkan daya saing usahawan.

Edisi tahun ini menyasarkan penyertaan 100 usahawan serta kehadiran 15,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.

Orang ramai memeriahkan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 14 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Antara pengisian utama ialah pertandingan PLATS Raja Seller Selangor, PLATS Live Sales Challenge, reruai jualan usahawan serta pelbagai aktiviti komuniti dan kekeluargaan.

HPPKS turut menjadi saluran memperkenalkan program bantuan, skim pembiayaan dan latihan keusahawanan bagi membantu peniaga kecil meningkatkan keupayaan serta mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama, penganjurannya bertujuan menghargai sumbangan penjaja dan peniaga kecil yang menjadi antara pemacu ekonomi negeri.

Program berkenaan dianjurkan Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melalui PLATS serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.