Kawasan SS15 dinaik taraf mulai 2027, atasi isu parkir dan kesesakan trafik

27 Okt 2026, 2:04 AM
Kawasan SS15 dinaik taraf mulai 2027, atasi isu parkir dan kesesakan trafik
Kawasan SS15 dinaik taraf mulai 2027, atasi isu parkir dan kesesakan trafik

SHAH ALAM, 27 OKT: Kawasan SS15 bakal dinaik taraf secara besar-besaran mulai 2027 menerusi inisiatif placemaking bernilai RM28 juta bagi menambah baik laluan pejalan kaki, aliran trafik dan kemudahan parkir, selain mewujudkan hab sosial baharu untuk komuniti setempat.

Jabatan Pengurusan Korporat dan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan projek itu akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun depan hingga 2031, susulan kajian placemaking SS15 selama enam bulan oleh Think City Sdn Bhd yang selesai bulan lalu.

Inisiatif ruang awam itu menelan belanja RM28 juta, dengan RM20 juta diperuntukkan MBSJ manakala RM4 juta masing-masing disumbangkan Titijaya Land Bhd dan Gamuda Bhd.

Antara cadangan dalam kajian itu termasuk meluaskan laluan pejalan kaki tanpa halangan, memperjelas lintasan pejalan kaki, menambah baik pencahayaan, menyediakan laluan berbumbung yang bersambung serta mengasingkan laluan pejalan kaki daripada kenderaan.

Dek penghubung dan lif baharu antara tempat letak kereta bertingkat SS15 dengan Pasar Moden turut dicadangkan bagi meningkatkan kemudahan akses, khususnya untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Reka bentuk sejagat dan kebolehcapaian untuk OKU antara pertimbangan utama kajian bagi memastikan SS15 menyediakan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan inklusif untuk semua komuniti,” menurutnya dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.

MBSJ menjelaskan kesesakan trafik dan kekurangan petak parkir di SS15 bukan semata-mata disebabkan kapasiti parkir yang terhad, sebaliknya turut dipengaruhi cara ruang sedia ada digunakan.

“Kajian kami merekodkan 1,254 petak parkir di tepi jalan dengan kadar penggunaan 100 peratus, manakala 3,730 petak parkir di luar jalan mencatatkan kadar penggunaan sekitar 63 peratus.

“Dapatan ini menunjukkan kapasiti parkir di SS15 masih tersedia, namun permintaan lebih tertumpu kepada petak parkir di tepi jalan,” menurutnya.

Berita lanjut di https://mediaselangor.com/en/2026/10/402424

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.