Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka

15 Nov 2026, 5:08 AM
Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka

MELAKA, 15 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Bidara Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua, hari ini.

Ab Rauf, 65, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada 12.10 tengah hari.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh serta calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang meraih kemenangan, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadap Yang Dipertua Negeri di Istana Melaka di Bukit Beruang bagi menyerahkan watikah pencalonan jawatan Ketua Menteri berkenaan.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan Ab Rauf mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri dalam saingan satu lawan satu.

Gabungan BN–Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri dengan BN memenangi 21 kerusi, manakala PN meraih tiga kerusi daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memperoleh empat kerusi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.