BUKIT KATIL, 14 NOV: Di sebalik kesibukan menguruskan hari bahagia, sepasang pengantin baharu tetap memastikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak terlepas, malah hadir ke pusat mengundi lengkap mengenakan busana perkahwinan hari ini.
Bagi Muhammad Aidil Aimin Othman, 27, dan isterinya, Nurfarah Ain Mustamam, 27, keputusan itu menjadikan hari perkahwinan mereka lebih bermakna apabila dapat menggabungkan dua detik penting dalam hidup pada hari yang sama.
Muhammad Aidil berkata, mereka terpaksa mengubah jadual akad nikah dengan mengawalkan majlis itu daripada perancangan asal supaya kedua-duanya sempat keluar mengundi sebelum meneruskan acara persandingan.

“Kalau ikut perancangan awal, nikah jam 10.30 pagi tetapi kita awalkan jam 9 pagi sebab nak datang mengundi. Terpaksa cepatkan sebab selepas ini nak bersanding pula jam 12.30 tengah hari,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, di sini, hari ini.
Bagi Nurfarah pula, hadir mengundi dengan mengenakan busana pengantin memberikan pengalaman berbeza, malah mencetuskan rasa seronok apabila penampilan mereka tidak seperti pengundi lain.
“Seronoklah juga hadir mengundi pakai baju pengantin sebab orang lain pakai pakaian biasa, jadi ada rasa istimewa sikit.
“Tak sangka perubahan ini (tarikh mengundi) sebab kita dah rancang setahun awal tetapi tak boleh nak buat apa sebab kita dah tempah semua, jadi terpaksa teruskan juga,” katanya.
Di sebalik meraikan permulaan hidup berumah tangga, pasangan itu turut berharap kerajaan negeri yang bakal dibentuk dapat menjalankan amanah dengan baik serta menunaikan segala janji kepada rakyat.
“Kita harapkan kerajaan yang pegang (tadbir) negeri Melaka selepas ini dapat mentadbir dengan baik. Janji-janji sebelum ini semua perlu ditunaikan,” katanya.
Di seluruh Melaka, sebanyak 31.07 peratus pengundi berdaftar telah keluar mengundi setakat jam 11.30 pagi tadi.







