PRN Melaka: HARAPAN harap momentum keluar mengundi kekal hingga petang

14 Nov 2026, 7:07 AM
PRN Melaka: HARAPAN harap momentum keluar mengundi kekal hingga petang

BUKIT KATIL, 14 NOV: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka, Adly Zahari berharap momentum kehadiran pengundi yang memberangsangkan pada sebelah pagi dapat dikekalkan sehingga proses pengundian berakhir jam 6 petang ini.

Beliau berkata, beberapa saluran di Pusat Daerah Mengundi (PDM) merekodkan lebih 30 peratus kehadiran pengundi setakat tengah hari, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, kehadiran awal pengundi sejak pusat mengundi dibuka pada jam 7.30 pagi turut mencerminkan kesedaran masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

“Pagi tadi saya melawat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang. Saya berterima kasih pengundi datang awal. Kalau kita lihat respons di pusat mengundi, sejak jam 7.30 pagi pengundi sudah beratur dan amat baik, sebahagian saluran mengundi mencecah 30 peratus.

“Kita harap data peratusan SPR agak menarik. Saya ucap terima kasih kepada SPR kerana kita boleh lihat secara dalam talian masa dan jumlah keluar mengundi.

“Ini memudahkan kesedaran masyarakat supaya keluar mengundi awal,” katanya ketika ditemui selepas melawat SK Jalan Datuk Palembang di Bukit Katil, lapor BH Online.

Calon N.17 Bukit Katil Pakatan Harapan (HARAPAN) Adly Zahari beramah mesra bersama pengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka pada 14 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas pengurusan pengundian, Adly berpuas hati dengan kelancaran proses di semua PDM melibatkan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, beliau berharap beberapa isu berkaitan lokasi penyokong berkumpul dapat ditangani mengikut peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau kita lihat pengurusan dan kaedah pengundian berjalan lancar, semua pusat mengundi tiada masalah, sistem dibuat dengan baik.

“Cuma ada beberapa perkara, kalau boleh kita elak dalam peraturan SPR, kadang-kadang ada bantahan tempat penyokong berkumpul di tempat had disediakan SPR,” katanya.

Pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka pada 14 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Setakat jam 2 petang, sebanyak 55.21 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

PRN Melaka kali ini melibatkan 675,166 pengundi biasa, manakala 5,955 pengundi menunaikan tanggungjawab melalui undi pos.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.