PRN Melaka: HARAPAN nilai semula prestasi, perkukuh usaha tingkat keyakinan rakyat

14 Nov 2026, 1:44 PM
PRN Melaka: HARAPAN nilai semula prestasi, perkukuh usaha tingkat keyakinan rakyat

BUKIT BARU, 14 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka hanya berjaya mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, empat kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.

Beliau berkata, HARAPAN menerima keputusan itu dengan terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat, selain menganggapnya sebagai ruang untuk memperkukuh usaha serta gerak kerja parti pada masa hadapan.

“Pakatan Harapan juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuh lagi usaha serta gerak kerja kami ke hadapan.

“Kami sentiasa percaya keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri dan masih boleh diperbaiki pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama HARAPAN di sini, hari ini.

Menurutnya, prestasi HARAPAN pada PRN kali ini, termasuk faktor kekalahan di beberapa kerusi, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden parti itu.

Perbincangan berkenaan turut merangkumi hala tuju kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Untuk Melaka, kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Presiden untuk meneliti hasil keputusan pilihan raya ini.

“Setakat hari ini, belum ada sebarang keputusan berhubung kerjasama politik dan perkara itu akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Kesemua empat kerusi yang dimenangi HARAPAN itu disumbangkan oleh DAP. Bagaimanapun, keputusan berkenaan masih belum rasmi sementara menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Secara keseluruhan, HARAPAN bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN kali ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.