BUKIT KATIL, 14 NOV: Melihat dua anak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama menjadi detik membanggakan buat Al Naim Jenal, 48, yang mahu memastikan mereka memahami nilai dan hak mereka sebagai warganegara.
Lebih bermakna, pengalaman itu dapat dikongsi bersama ahli keluarga lain apabila mereka hadir ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Menurut Al Naim, daripada tujuh ahli keluarganya yang layak mengundi, lima orang sudah hadir pada pagi ini, termasuk dua anaknya yang masing-masing berusia 19 dan 21 tahun.

“Keluarga saya yang layak mengundi tujuh orang, tetapi yang hadir pagi ini lima orang. Ada lagi dua belum sampai. Yang kali pertama mengundi dua orang, berusia 19 dan 21 tahun.
“Saya sebagai bapa memang gembira sebab mereka menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara. Apa yang penting, kita sebagai bapa perlu jelaskan kepada anak-anak tentang hak kita sebagai pengundi,” katanya ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, di sini.
Bagi Al Naim, pendedahan mengenai proses demokrasi perlu diberikan sejak usia muda supaya anak-anak memahami bahawa setiap undi membawa suara dan peranan dalam menentukan masa depan negara.
Katanya, kedua-dua anaknya juga menunjukkan keterujaan untuk melalui pengalaman pertama sebagai pengundi, sekali gus membuktikan mereka bersedia memikul tanggungjawab tersebut.
“Anak-anak muda ini akan memberi impak kepada masa depan negara. Setakat ini mereka tiada masalah, malah teruja untuk mengundi buat kali pertama,” katanya.

SK Jalan Datuk Palembang merupakan antara pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang menyediakan tiga saluran.
DUN Bukit Katil mempunyai lebih 30,000 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.
Di seluruh Melaka, sebanyak 31.07 peratus pengundi berdaftar telah keluar mengundi setakat jam 11.30 pagi tadi.







