
KLANG, 17 OKT: Kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir akan diberi keutamaan bagi pembinaan kolam takungan menerusi peruntukan RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan risiko banjir kilat di Lembah Klang.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan kajian terlebih dahulu bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan pembinaan kolam takungan baharu, pembesaran parit atau naik taraf kolam sedia ada.

“Untuk bangunkan kolam takungan, RM100 juta sedikit sahaja… peruntukan perlu lihat saiz projek. Kita akan tengok tempat yang serius supaya kolam takungan ataupun pembesaran parit dan pembesaran kolam sedia ada untuk elak banjir,” katanya ketika program Townhall Belanjawan Selangor Kita Anak Muda, di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai untuk mengurangkan risiko banjir kilat di Lembah Klang.
Anwar dilaporkan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha segera menangani masalah banjir yang kerap menjejaskan kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Izham berkata pelbagai projek infrastruktur yang dibiayai Kerajaan Persekutuan di Selangor, dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM4 bilion sedang dilaksanakan, dalam perancangan dan sebahagiannya hampir siap.
“Sebenarnya, projek yang sedang berjalan sudah banyak, yang dibawa Kerajaan Persekutuan dan diberikan kepada Kerajaan Selangor. Dianggarkan lebih RM4 bilion projek yang telah diberikan komitmen dan sedang berjalan, dalam perancangan serta ada yang hampir siap,” katanya.
Dalam usaha jangka panjang, Izham berkata Kerajaan Negeri sedang mengkaji penggunaan konsep lebuh raya air di bawah Pelan Induk Air bagi menangani masalah banjir, khususnya di kawasan bandar.
Beliau menjelaskan banjir kilat lazimnya berlaku apabila hujan lebat turun dalam tempoh singkat sehingga sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
“Jadi, longkang-longkang tidak akan mampu untuk uruskan air macam ini. Jadi kita perlukan satu kaedah lain, antaranya ialah penggunaan lebuh raya air.
“Saya pernah bentang di depan Perdana Menteri ketika lawatan ke Selangor dulu dan beliau minta dikaji secara teliti. Kita sedang lakukannya di bawah Pelan Induk Air.
“Pelaksanaan ini akan melibatkan Lembah Klang, daripada Kuala Lumpur hingga ke Selangor. Air daripada Lembah Klang, daripada Selangor dan Kuala Lumpur akan lalu Selangor, jadi kena selesaikan dua-dua sekali,” katanya.
Sebelum ini, Izham memaklumkan kajian Pelan Induk Air Selangor turut menilai keberkesanan projek tebatan banjir dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk pembangunan dan pengurusan sumber air.
Kajian itu diselaraskan bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).






