JAKARTA, 12 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pengedar Indonesia, PT Cahaya Bukit Biru bagi penghantaran ikan sebanyak 54 tan ikan ke Selangor.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata penghantaran secara berperingkat itu bagi melengkapkan keseluruhan 800 tan simpanan ikan melalui Program Gudang Makanan Selangor pada tahun ini.
“Ini merupakan salah satu usaha kita untuk menambah keterjaminan makanan terutamanya ikan dan hasil laut bagi menyokong Program Gudang Makanan Selangor.
“Kita juga ambil ikan tempatan. Ini sebagai sokongan sekiranya ada kekurangan. Kohijrah diamanahkan untuk menjaga bekalan ikan. Di Malaysia kita akan lawat lokasi gudang juga,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran MoU antara Kohijrah yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail bersama wakil PT Cahaya Bukit Biru, di Muara Baru Jakarta pada Isnin lalu.

Izham turut menyempurnakan gimik pelepasan kontena yang mengandungi 54 tan ikan ke Selangor bersama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Selangor, Norhayati Nayan.
Sementara itu, Mohammad Syukri berkata bekalan ikan yang diperolehi dari Indonesia ini juga akan dijual di pusat lelongan Kohijrah serta menerusi jualan trak bergerak oleh ahli koperasi berkenaan.
Beliau berkata inisiatif ini dijangka berupaya membantu meningkatkan taraf ekonomi ahli Kohijrah sekali gus memberi impak dan meransang ekonomi rantaian koperasi di Selangor.

“Dengan adanya Program Gudang Makanan Selangor ini, kami telah berjaya membuat satu rancangan dimana 800 tan pada tahun ini, kami telah mula susun dan penghantaran 54 tan akan dibuat hari ini
“Penghantaran ini akan bersambung dan kita yakin akan dapat selesaikan sebanyak 800 tan pada Disember ini. Ikan dari Indonesia dicampur dengan ikan tempatan,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Selangor melancarkan Program Gudang Makanan Selangor sekali gus menjadi negeri pertama di negara ini yang menyediakan gudang makanan bagi memperkukuh sistem keselamatan bekalan makanan.
Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, gudang yang terletak di Pelabuhan Klang itu akan menempatkan sejumlah 5,000 tan metrik beras dan satu juta kilogram daging sejuk beku dalam tempoh yang ditetapkan, sebagai permulaan.





