SHAH ALAM, 5 NOV: Jambatan kekal baharu di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh akan dibina lebih lebar, panjang dan tinggi bagi melancarkan aliran Sungai Subang sekali gus mengurangkan risiko banjir.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM20 juta bagi projek itu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada tahun lalu, manakala kerja awal pembinaan sedang dilaksanakan.
“Jambatan baharu akan dibina lebih lebar bagi membolehkan air sungai mengalir dengan lancar dan mengelakkan aliran tersekat.
“Struktur jambatan juga akan ditinggikan kira-kira 0.6 meter berbanding jambatan sedia ada bagi melancarkan aliran air,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.
Menurutnya, jambatan baharu itu akan dibina sepanjang kira-kira 36 meter.
Jambatan lama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Paya Jaras Hilir runtuh di dua bahagian awal pagi semalam susulan hujan lebat.
Izham menjelaskan arus sungai yang deras menyebabkan jambatan lama runtuh kerana struktur berkenaan menghalang kelancaran aliran air.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan membina jambatan sementara jenis Bailey dengan kos RM350,000 melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Kerja awal termasuk pemindahan 15 tiang utiliti sedang dilaksanakan sebelum pemasangan jambatan bermula pada 13 November.
“Kita akan mula memasang jambatan Bailey pada 13 November,” katanya sambil menjangkakan pembinaan siap menjelang akhir bulan ini.
Izham berkata laluan jambatan lama ditutup atas faktor keselamatan, manakala pengguna jalan raya menuju ke Merbau Sempak dan Kampung Kubu Gajah perlu menggunakan Jalan Merbau Sempak menghala ke Masjid Nurul Iman.
Pengguna yang ingin ke Paya Jaras Hilir pula boleh terus menggunakan Jalan Paya Jaras Hilir.
Semalam, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan jambatan kekal baharu akan dibina menjelang 2029.
Menurutnya, kerja pelebaran Sungai Subang kepada kira-kira 40 meter menyebabkan aliran air tersekat di jambatan lama ketika hujan lebat, sekali gus mengakibatkan banjir.








