AMPANG, 14 NOV: Program MADANI Kita (PMK) Pandan 2026 menjadi platform memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat dilaksanakan dengan berkesan.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata program itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai inisiatif, bantuan dan perkhidmatan yang disediakan agensi kerajaan.
Menurutnya, penganjuran PMK di Pandan Indah merupakan lokasi kedua di Selangor selepas Dataran Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat pada 18 Oktober lalu, manakala Gombak dijadualkan menjadi lokasi seterusnya.
“Melalui program seperti ini, rakyat berpeluang melihat sendiri pelbagai perkhidmatan yang disediakan agensi kerajaan sekali gus mengetahui bentuk bantuan dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita (PMK) Pandan 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, di sini hari ini.
Izham yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah berkata program itu turut menjadi ruang mengeratkan hubungan masyarakat selain meningkatkan pemahaman rakyat mengenai sistem pentadbiran kerajaan serta peranan agensi di bawahnya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Pandan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan penting bagi menyelaras usaha menangani pelbagai isu serta melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Selangor, barisan EXCO dan ADN dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan serta memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Pandan terus diberikan perhatian.
“Aspek kebajikan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan, khususnya golongan memerlukan seperti keluarga berpendapatan rendah (B40), warga emas dan ibu tunggal yang memerlukan perhatian serta bantuan sewajarnya.
“Saya berharap kerjasama erat antara kedua-dua peringkat kerajaan dapat diteruskan bagi memastikan setiap usaha pembangunan dan inisiatif kebajikan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat setempat,” katanya.
PMK Pandan 2026 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Selangor bertujuan menyampaikan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan program kerajaan selain meningkatkan pemahaman rakyat terhadap agenda pembangunan negara.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang program itu termasuk ceramah, e-sukan, pameran, penukaran topi keledar percuma, pemeriksaan kesihatan, Jom Exchange Al-Quran dan Jualan Rahmah yang menarik lebih 5,000 pengunjung.
Pada program sama, Izham dan Tengku Zafrul turut menyampaikan Bakul RAHMAH kepada 100 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah bagi meringankan beban golongan berkenaan.










