SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor mewajibkan pengusaha mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum membuka ladang ayam baharu, kata EXCO pertanian.
Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, penetapan itu antara langkah bawah Hala Tuju Penternakan Ayam Selangor bagi memastikan kesesuaian lokasi dinilai sebelum lesen perladangan unggas dipertimbang.
“Setiap permohonan baharu lesen penternakan ayam hendaklah terlebih dahulu mendapatkan KM daripada PBT sebelum lesen perladangan unggas dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.
“Penetapan ini bertujuan memastikan kesesuaian lokasi aktiviti penternakan dinilai terlebih dahulu terutama dari aspek perancangan dan kesan terhadap persekitaran terutama kawasan perumahan berhampiran,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani berhubung isu pencemaran bau dan kacau ganggu di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut menetapkan ladang ayam sedia ada yang beroperasi di zon tidak dibenarkan diberi tmpoh peralihan untuk berpindah ke zon yang dibenarkan.
Menurut Ir Izham, langkah itu bertujuan mengelakkan konflik antara aktiviti penternakan dengan kawasan perumahan, selain membantu menangani isu pencemaran bau yang menjejaskan penduduk.
“Ladang ayam sedia ada dalam zon yang dibenarkan tetapi menggunakan sistem reban terbuka juga perlu beralih kepada sistem reban tertutup.
“Peralihan ini bagi meningkatkan kawalan terhadap persekitaran operasi ladang selain mengurangkan kesan aktiviti penternakan terhadap kawasan perumahan dan penduduk berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pindaan Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 bagi memperkukuh kawal selia aktiviti penternakan ayam.
Katanya, pindaan itu antaranya akan meliputi penetapan zon penampan berdasarkan syarat KM, penambahbaikan pengurusan tinja termasuk keperluan rawatan sebelum dikeluarkan dari ladang serta penetapan standard amalan penternakan yang baik.
Ir Izham berkata pengusaha perladangan unggas ketika ini tertakluk kepada syarat pelesenan di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007.
“Peruntukan sedia ada menetapkan pelan lokasi ladang menunjukkan jarak minimum 200 meter secara garisan lurus daripada struktur penternakan unggas ke rumah kediaman, sekolah, klinik atau tempat ibadat sedia ada ketika permohonan dibuat.
“Bagaimanapun, syarat itu tidak terpakai bagi ladang unggas yang mengamalkan sistem ladang tertutup,” katanya.







