Selangor tambah baik insentif pesawah berasaskan hasil tingkat produktiviti

25 Sep 2026, 12:00 PM
Selangor tambah baik insentif pesawah berasaskan hasil tingkat produktiviti

SHAH ALAM, 25 SEPT: Insentif untuk pesawah terus ditambah baik dengan pendekatan berasaskan hasil bagi meningkatkan produktiviti, kata EXCO Pertanian, Dato’ Ir. Izham Hashim.

“Insentif diberikan supaya kita dapat lihat peningkatan daripada segi produktiviti. Jadi kalau kita silap melaksanakan insentif ini, ia boleh menjadi tidak produktif dan tidak membawa kepada peningkatan hasil yang kita mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Bersama Menteri Besar Selangor di Selangor International Trade and Exhibition Centre (SITC), hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebelum ini meluluskan insentif RM100 bagi setiap tan kepada pesawah yang mencapai hasil melebihi tujuh tan sehektar sebagai ganjaran berdasarkan hasil yang dicapai.

Katanya, pendekatan berkenaan memberi ganjaran selepas hasil ditentukan, berbanding bantuan yang diberikan pada peringkat awal pengeluaran.

“Bila kita beri ganjaran berdasarkan output, berbanding bagi input, daripada awal kita beri, kita beri kemudian. Kita beri galakan supaya dia tingkatkan, dari situ kita bagi insentif,” katanya.

Sesi libat urus berkenaan turut menampilkan pembentangan Pengarah Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor, Mario Valeriano dan pakar tanaman padi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Rafii Yusop.

Dalam penggulungan, Izham berkata pendekatan pemberian insentif berdasarkan hasil perlu dilaksanakan dengan teliti supaya matlamat meningkatkan produktiviti tanaman padi dapat dicapai.

Katanya, pendekatan tersebut bertujuan memastikan pemberian insentif mempunyai kaitan langsung dengan peningkatan produktiviti serta hasil tanaman padi.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.