KLANG, 18 OKT: Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) fasa kedua memfokuskan pembangunan pertanian bernilai tinggi dan pemodenan bagi meningkatkan daya saing, selain memperluas penyertaan golongan muda khususnya wanita.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata tumpuan turut diberikan kepada sektor penanaman padi terutamanya bagi meningkatkan produktiviti hasil di kawasan Barat Laut Selangor.
“Untuk PeTA, sudah memasuki fasa kedua bermula tahun ini dan akan fokus lagi kepada dasar yang kita telah tetapkan iaitu pertanian bernilai tinggi dan pemodenan.
“Kita akan tingkatkan penglibatan lebih ramai lagi anak-anak muda terutama anak wanita dan cuma tambahan fokus sebelum ini banyak federal yang tengok di bawah Kerajaan Pusat iaitu isu sawah padi.
“Sekarang yang paling serius kena bagi tumpuan adalah sawah padi kerana penglibatan anak muda tidak ramai. Ini yang kita akan ada tambahkan untuk tahun ini supaya dapat tingkatkan produktiviti hasil padi di Barat Laut,” katanya ketika ditemui pada program Townhall Belanjawan Negeri Kita Anak Muda, semalam.
Terdahulu, Izham memaklumkan semua cadangan yang dikemukakan golongan muda menerusi program itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri akan datang.
Beliau berkata antara perkara yang boleh diberi perhatian termasuk isu perumahan dan pembangunan usahawan bagi memastikan keperluan golongan muda dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Ada perkara-perkara yang boleh bawa dalam MMKN terutama anak-anak muda tentang isu perumahan dan pembangunan usahawan yang boleh dibuat dengan lebih baik.
“Namun, buat masa ini alhamdulillah penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan sudah baik tetapi ada yang perlu dibaiki lagi seperti penglibatan anak muda dalam pertanian bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan program pembangunan belia yang lebih berkesan dan tidak hanya menumpukan kepada penyediaan infrastruktur.
Katanya, golongan muda memerlukan lebih banyak program pembangunan yang dapat meningkatkan potensi diri, selain bantuan bagi menangani tekanan kos sara hidup.
“Kita bukan hendak gelanggang futsal sahaja tetapi mahukan program-program pembangunan untuk belia. Selain itu, diharap dapat beri perhatian kos sara hidup walaupun ia merupakan agenda kerajaan persekutuan.
“Saya juga berharap dapat kembalikan semula inisiatif khusus untuk belia kerana jika wanita ada untuk MamaKerja,” katanya.








