Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka esok, empat hari awal

19 Nov 2026, 1:15 PM
Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka esok, empat hari awal
Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka esok, empat hari awal
Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka esok, empat hari awal
Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka esok, empat hari awal

SUNGAI BULOH, 19 NOV: Jambatan Bailey di Sungai Subang, Jalan Kubu Gajah yang dipasang susulan kejadian runtuhan tebing akibat banjir pada 4 November lalu akan dibuka kepada lalu lintas mulai jam 6 pagi esok

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata, jambatan terbabit berjaya disiapkan empat hari lebih awal berbanding jadual asal yang sepatutnya 24 November 2026.

"Kita juga membina jambatan ini pada kedudukan lebih tinggi, iaitu kira-kira satu meter lebih tinggi berbanding jambatan lama.

"Selain itu, kita telah membersihkan kawasan di bawah jambatan, khususnya di bahagian yang mengalami hakisan dan runtuhan, bagi memberikan laluan lebih luas kepada aliran air," katanya kepada media selepas meninjau kerja-kerja akhir pembinaan Jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah.

Izham berkata, kerja pemasangan jambatan berkenaan bermula pada 11 November lalu selepas kerja-kerja awal termasuk pengalihan utiliti, pembersihan tapak dan penyediaan kawasan sokongan jambatan diselesaikan.

“Seramai 32 petugas dan pekerja kita yang bertugas sepanjang masa. Saya ucap tahniah kepada mereka yang telah bertungkus-lumus bekerja siang malam untuk menyiapkan jambatan ini dalam lima hari,” katanya.

Jambatan Bailey sepanjang 36.6 meter dan selebar 7.35 meter itu mempunyai satu rentang dan mampu menampung had muatan sehingga 30 tan.

Sementara itu, kerja awal pembinaan jambatan baharu di lokasi berkenaan sudah dimulakan, manakala kerja fizikal akan bermula tahun depan.

Izham berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi pembinaan jambatan baharu itu yang dijangka mengambil masa kira-kira satu tahun setengah untuk disiapkan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.