KLEBANG, 10 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir yakin latar belakangnya sebagai anak tempatan dan pengalaman mendekati masyarakat mampu membantu beliau meraih sokongan pengundi.
Farzana yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata gerak kerja mendekati penduduk telah dilaksanakan sejak sekian lama, termasuk selepas kekalahannya di Bukit Rambai sebelum ini.
“Kita bukan sahaja baru bergerak, selepas tewas di Bukit Rambai saya terus bergerak ke Klebang dan kita dah mula gerak kerja sebelum pilihan raya sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi tinjauan mesra di Kampung Gedong Lalang, hari ini.
Menurutnya, pengalaman berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri turut dilihat sebagai kelebihan dalam menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan bagi membantu menangani isu setempat.
“Kita boleh minta bantuan daripada kementerian dan agensi terutamanya dari pejabat Perdana Menteri sendiri, apa yang boleh kita bantu asalkan isu selesai,” katanya.
Mengulas baki tempoh kempen, Farzana berkata beliau akan terus mempergiat usaha mendekati pelbagai kelompok pengundi, termasuk nelayan, pesawah, golongan muda dan wanita bagi memahami keperluan serta isu yang dihadapi mereka.
Beliau turut mahu memanfaatkan platform digital sebagai saluran untuk memperkenalkan pendekatan dan menyampaikan mesej kempen kepada pengundi.
Dalam persaingan empat penjuru itu, Farzana yang mesra disapa Nana berdepan Pengerusi MCA Melaka Datuk Lim Ban Hong, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama).











