BUKIT KATIL, 11 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari mahu memperkasa pendidikan digital bagi meningkatkan kemahiran belia sekali gus merancakkan ekonomi golongan itu.
Beliau berkata penguasaan kemahiran digital mampu memberi nilai tambah kepada golongan usahawan muda, khususnya dalam memasarkan produk menerusi platform dalam talian.
“Pendidikan digital di Bukit Katil mesti kita tingkatkan kerana ia melibatkan pengetahuan anak muda. Kita mahu mereka terlibat dalam ekonomi dengan kemahiran lebih baik dalam dunia digital.
“Perkara ini akan meningkatkan mutu keusahawanan mereka kerana Bukit Katil mempunyai ramai usahawan dan kita mahu mereka memiliki kemahiran untuk memasarkan produk secara dalam talian,” katanya.
Beliau ditemui pada program takraw bersama anak muda di Taman Kampungku Sayang di sini, semalam.
Adly yang juga Pengerusi HARAPAN Melaka berkata usaha membangunkan Bukit Katil bukan perkara baharu kerana beliau pernah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan untuk membawa pelbagai kemudahan kepada penduduk.
“Antaranya, saya manfaatkan juga bajet Kementerian Pertahanan untuk dibawa ke Bukit Katil seperti pembaikan dua padang futsal.
“Pada masa sama, menerusi kerjasama dengan anggota pertahanan, kita membangunkan balai raya, membina tandas sekolah dan membaiki infrastruktur rakyat,” katanya.
Mengulas isu banjir, beliau berkata masalah itu di kawasan seluas 500 ekar di Bukit Katil sudah ditangani menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir dan pembinaan rumah pam.
Katanya, pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan itu bukan perkara asing bagi penduduk setempat kerana mereka sudah menikmati manfaatnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Adly berdepan saingan tiga calon lain iaitu Muhammad Ridzuan Mohd Sarif daripada Perikatan Nasional (PN), calon Bebas Abu Bakar Sabudin dan Dr Aliza Che Amran daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).







