PRN Melaka: SPR keluar 8,569 kertas undi pos

2 Nov 2026, 12:49 PM
PRN Melaka: SPR keluar 8,569 kertas undi pos

MELAKA, 2 NOV: Sebanyak 8,569 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,041 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.

Beliau berkata sebanyak 433 kertas undi pos dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara bagi Kategori 1B manakala 95 lagi kepada pegawai-pegawai bagi Kategori 1C dari agensi atau organisasi yang telah diluluskan oleh SPR dan tidak dapat hadir untuk mengundi kerana bertugas.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi serta mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul.

Kertas undi berkenaan perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian, iaitu 14 Nov.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 10 November.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.