Perhebat pembersihan, periksa saliran elak banjir kilat di KL – Hannah

3 Nov 2026, 8:59 AM
Perhebat pembersihan, periksa saliran elak banjir kilat di KL – Hannah

PUTRAJAYA, 3 NOV: Pemeriksaan mengejut atau spot check terhadap sistem perparitan dan kerja pembersihan di Kuala Lumpur dipergiat bagi memastikan saliran tidak tersumbat, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat terutama ketika musim hujan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pemeriksaan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk ketika musim kering bagi memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan sempurna dan sistem saliran berfungsi dengan baik.

Beliau berkata keadaan jalan yang kelihatan bersih tidak semestinya menggambarkan sistem perparitan berada dalam keadaan baik kerana saluran air mungkin tersumbat tanpa disedari.

"Oleh sebab itu, sebelum musim hujan, masa musim kering, kita dah pesan dah... kita mesti buat spot check, kita mesti pastikan kerja pembersihan dilakukan betul-betul. Kadang-kadang jalan nampak bersih tetapi lubang-lubang (saliran) itu mungkin tersumbat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Community-Based Eco Recycling Hub (COB3R) di Presint 9 di sini hari ini.

Hannah berkata pejabat cawangan Parlimen masing-masing turut diaktifkan dengan pasukan yang menjalankan rondaan serta menyalurkan laporan terkini mengenai keadaan kawasan berisiko banjir kilat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemantauan aktif itu penting bagi memastikan lokasi panas banjir kilat yang berjaya dikurangkan daripada 30 kepada 14 dalam tempoh tiga tahun lepas tidak meningkat semula.

"Sekarang ini, dalam tiga tahun, kita telah kurangkan hotspot daripada 30 ke 14. Hasrat di Kuala Lumpur adalah untuk turunkan lagi kepada 10," katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata kekerapan kerja pembersihan dan pembuangan kelodak Sungai Toba turut ditingkatkan daripada dua kepada enam kali setahun sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan risiko banjir kilat.

Beliau berkata perubahan corak cuaca dan kejadian hujan lebat luar biasa memerlukan pihak berkuasa menilai semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

"Cuaca sekarang, hujan sekarang, kita tidak boleh tangani guna SOP biasa. Kita mesti bersedia," katanya sambil menambah perancangan pembangunan Kuala Lumpur juga perlu mengambil kira pendekatan bandar span atau sponge city dengan mengekalkan kawasan lapang dan kawasan hijau bagi membantu penyerapan air hujan.

Beliau berkata pembangunan di kawasan bukit perlu dikawal dengan ketat bagi memastikan keupayaan semula jadi kawasan berkenaan menampung air hujan tidak terjejas.

“Anda tidak boleh menggantikan kawasan hijau ini dengan konkrit. Air hanya memerlukan ruang untuk mengalir,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.