Cantik beca belum tentu lebat rezekinya

14 Nov 2026, 1:00 AM
Cantik beca belum tentu lebat rezekinya
Cantik beca belum tentu lebat rezekinya
Cantik beca belum tentu lebat rezekinya

BANDAR HILIR, 14 NOV: Selain cuaca yang tidak menentu memberi kesan kepada pendapatan, faktor hiasan beca turut menjadi tarikan utama pelanggan. 

Perkara itu dikongsikan Mohamad Sabree Bin Ozainee, 51, yang sudah lebih 10 tahun mencari rezeki sebagai pengayuh beca. 

Menurutnya, pengunjung kini rambang mata untuk membuat pilihan terutamanya kanak-kanak yang lebih cenderung dengan daya tarikan tertentu.

Bagaimanapun, beliau sedar usaha untuk memenuhi tuntutan pengunjung itu boleh menelan modal yang besar.

“Orang memang nak tengok hiasan, bila malam lampu terang dan beca bersih. Beca yang baru kebiasaannya senanglah dapat pelanggan.

“Memang makan modal (kos hiasan beca). Biasanya agak mahal pada pemasangan lampu, kalau buat maksimum boleh cecah hingga RM3,000. Bunga tak begitu mahal cuma kalau nak meriah memang perlu banyakkan lampu,” katanya ketika ditemui di Bandar Hilir.

Mengulas mengenai  pendapatan, beliau akui hasil yang dibawa pulang tidak menentu sebaliknya sangat bergantung kepada musim cuti persekolahan yang panjang.

Ahli Persatuan Abang Beca Melaka, Mohamad Sabree Ozainee, 51, melemparkan senyuman sambil menunjukkan tanda bagus sebagai lambang kesediaan melayan tetamu luar yang ingin merasai pengalaman menerokai bandar raya itu dengan menaiki beca dihiasi patung dan corak bertemakan karakter Kuromi bernuansa ungu terang ketika tinjauan pada 12 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Tambahnya yang juga ahli Persatuan Abang Beca Melaka itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini juga tidak memberikan sebarang impak besar pada punca pendapatan.

“Biasanya kalau hujung minggu memang tak berapa ramai sangat. Kalau cuti sekolah panjang memang agak ramai.

“Musim PRN memang kuranglah sambutan. Ada itu mungkin tak banyak kerana mereka tertumpu di kawasan luar dan kita berada di kawasan bandar.

“Pendapatan tak tentu, kadang-kadang sehari dalam RM100 boleh lah dapat. Kita pun berkongsi rezeki dengan kawan-kawan lain, kalau penat kita akan bagi pada pelanggan lain jadi semua merasa (pendapatan),” kongsinya lagi.

Para pengayuh beca bersedia di sisi jentera masing-masing sementara menunggu ketibaan pelancong yang ingin merasai pengalaman menerokai Bandaraya Melaka menaiki kenderaan tradisional itu ketika tinjauan pada 12 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.