
SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan menentukan kawasan yang perlu diberi keutamaan daripada 56 lokasi berisiko banjir (hotspot) yang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek mitigasi dan tebatan banjir di negeri ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu akan dibuat menerusi mesyuarat pasukan petugas khas (task force) yang dihadirinya bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Kita ada 56 hotspot dan dalam 56 hotspot itu ada senarai yang akan ditetapkan dan diputuskan JPS dalam task force yang saya sendiri akan hadir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, beliau akan menghadiri mesyuarat pasukan petugas khas yang sebelum ini diketuai EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim, sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan bagi membolehkan keputusan atau arahan segera dibuat berhubung isu banjir.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti beberapa projek pembangunan yang pemajunya gagal menyelenggara kolam tadahan di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit supaya meminta pemaju menyelenggara dan menaik taraf kolam berkenaan atau berdepan tindakan termasuk arahan henti kerja.
“Sebagai contoh, kita sudah kenal pasti beberapa tapak projek pembangunan yang tidak menyelenggara kolam-kolam tadahan mereka.
"Saya telah arahkan PBT terbabit untuk minta pemaju mengawal selia, naik taraf kolam itu. Kalau tidak kita tarik balik atau stop order terhadap kerja pembangunan yang mereka jalankan,” katanya.
Amirudin turut menegaskan Kerajaan Negeri perlu mengubah pendekatan kerja sedia ada bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
“Sebab itu saya ingatkan, kita tidak boleh bekerja sebagaimana lazim atau biasa, kerana ia akan melahirkan kelewatan dan menimbulkan kesusahan,” katanya.
Beliau berkata pasukan petugas khas yang dianggotai agensi berkaitan turut diminta mengumumkan kawasan berisiko banjir setiap bulan, khususnya menjelang musim tengkujuh atau apabila hujan lebat diramalkan.
Katanya, pengumuman itu bertujuan memaklumkan kawasan yang masih berdepan risiko berikutan projek berkaitan yang belum disiapkan.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027, Amirudin mengumumkan penyediaan laluan hijau bagi mempercepat kelulusan projek mitigasi dan tebatan banjir, termasuk memperkemas semakan teknikal serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan projek yang dikenal pasti dilaksanakan dengan lebih pantas tanpa mengetepikan syarat keselamatan, alam sekitar dan tatacara perolehan.
Menurutnya, sebanyak 56 projek mitigasi dan tebatan banjir dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun hadapan sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di Selangor.








