
SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak RM36.45 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi meneruskan 30 projek tebatan banjir sedia ada serta melaksanakan 17 projek baharu di seluruh negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keseluruhan 47 projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dilaksanakan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Daripada 30 projek sambungan, sebanyak 13 sudah siap dan kini dalam proses penyediaan akaun muktamad, manakala sembilan lagi masih dalam pelaksanaan.
Dua projek berada pada peringkat pra-tender, sementara enam lagi sedang dalam peringkat reka bentuk.

“Selain itu, projek tebatan banjir di Anak Sungai Damansara, Petaling telah berjaya disiapkan tahun ini sementara satu lagi projek di peringkat reka bentuk, 11 projek dalam proses pelantikan perunding dan lima projek masih di peringkat rancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dari segi agihan peruntukan, sebanyak RM9.15 juta melibatkan projek di Lembangan Sungai Klang, manakala RM7.35 juta diperuntukkan bagi Lembangan Sungai Langat.
Peruntukan selebihnya turut melibatkan kawasan Lembangan Sungai Buloh, Sungai Selangor, Sungai Bernam dan Kapar Besar.
Selain kos pelaksanaan projek, peruntukan berkenaan turut merangkumi kerja persediaan termasuk penyediaan reka bentuk, kerja ukur dan penyelesaian urusan tanah bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek yang sedang berjalan, selain menyelesaikan urusan tanah dan penyelarasan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan projek seterusnya.
Dalam perkembangan berkaitan, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim sebelum ini memaklumkan 70 peratus daripada 255 projek tebatan banjir menerusi pendekatan segera atau quick win di Selangor sudah siap dilaksanakan, membabitkan peruntukan hampir RM70 juta.
Projek yang memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir kilat itu dilaksanakan menerusi kerjasama JPS, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).







