
SHAH ALAM, 13 NOV: Selangor mempercepat usaha menaik taraf infrastruktur bekalan air menerusi peruntukan RM559 juta bagi menggantikan paip usang sepanjang 300 kilometer (km) pada 2027.
Dato’ Menteri Besar berkata sasaran penggantian paip ditingkatkan daripada 150km kepada 300km setahun melalui kerjasama Kerajaan Negeri dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, langkah itu bertujuan mempercepat pembaharuan rangkaian paip lama, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem agihan air serta mengurangkan risiko kebocoran dan gangguan bekalan.

“Sejumlah RM559 juta akan dibelanjakan bagi menggantikan paip pada 2027. Program penggantian paip telah mula dilaksanakan sejak 2016 dengan sasaran sepanjang 150 kilometer (km) setahun.
“Sehingga Ogos 2026, paip usang sepanjang 1,231.01 km telah selesai digantikan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Bagaimanapun, lebih 6,000km paip usang masih perlu diganti bagi memastikan sistem agihan air lebih cekap dan mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada pengguna.
Bagi meneruskan usaha itu, Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM542.8 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 untuk kerja penggantian paip usang.
Selain penggantian paip, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM40.4 juta bagi program pengurangan air tidak terhasil (NRW) yang merangkumi beberapa inisiatif teknikal, termasuk penggantian paip komunikasi dan peluasan liputan Zon Pemeteran Daerah (DMZ).







