NRW Malaysia sukar turun, Air Selangor dedah cabaran paip usang berusia 90 tahun

26 Mei 2026, 12:29 PM
NRW Malaysia sukar turun, Air Selangor dedah cabaran paip usang berusia 90 tahun

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Malaysia sejak sekian lama melihat masalah air tidak berhasil (NRW) sebagai satu bentuk kerugian yang perlu dikurangkan atau sasaran yang perlu dicapai.

Namun, usaha menurunkan NRW sebenarnya lebih mencabar. Ini kerana sebahagian besar kehilangan air berlaku dalam rangkaian paip lama yang memerlukan penggantian berperingkat.

Ia lazimnya melibatkan masalah paling sukar dikesan dan dibaiki: kebocoran tersembunyi, paip usang, paip pecah berulang kali serta kos pembaikan yang semakin tinggi apabila kerosakan berlaku jauh di bawah tanah.

Laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini turut menunjukkan masalah NRW bukan hanya dihadapi oleh satu operator air, sebaliknya melibatkan sektor air secara lebih meluas.

Masalah itu bukan sahaja terzahir menerusi data operator air, tetapi juga melalui sasaran kerajaan sendiri. Ketika sidang Parlimen pada 24 Feb 2026, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia gagal mencapai sasaran NRW sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 25 peratus menjelang 2030.

Kegagalan itu dikaitkan dengan kedudukan kewangan sebahagian operator air yang lemah, tarif yang tidak mencerminkan kos operasi sebenar serta kelewatan program pengurangan NRW yang dirancang ketika tempoh COVID-19.

Kerajaan kini menyasarkan kadar NRW diturunkan kepada 28.8 peratus menjelang 2030.

Namun bagi operator di kawasan berpenduduk padat, persoalan utama ialah bagaimana untuk terus menurunkan NRW apabila sebahagian besar rangkaian paip sedia ada sudah usang dan memerlukan kos tinggi untuk diperbaharui.

Menurut Air Selangor, itulah cabaran utama mereka hari ini, walaupun operator air itu telah berjaya mengurangkan kadar NRW dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.

Mengapa kadar NRW masih sukar diturunkan

Menurut SPAN, NRW kekal sebagai cabaran berterusan dalam sektor air Malaysia. Laporan suruhanjaya itu menunjukkan kadar kehilangan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan kekal melebihi 33 peratus dari 2015 hingga 2024, walaupun operator utiliti terus berusaha mengurangkannya.

Kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat siap dilaksanakan pada malam 10 Oktober 2023. Foto Facebook Air Selangor

Punca NRW selalunya gabungan pelbagai faktor. Ini termasuk kebocoran dan paip pecah, kecurian air melalui sambungan haram, meter tidak tepat atau rosak, pergerakan tanah, penyelenggaraan lemah serta kekangan pembiayaan.

Namun, Air Selangor merekodkan trend penurunan kadar NRW, iaitu daripada 31.7 peratus pada 2018 kepada 26.8 peratus tahun lalu, dengan sasaran 25 peratus menjelang 2030.

Namun, persoalannya kini ialah sejauh mana kadar itu masih boleh terus dikurangkan.

“Serendah mana kadar NRW boleh dikurangkan bergantung kepada satu pengiraan yang dikenali sebagai tahap ekonomi NRW,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali dalam wawancara eksklusif bersama Garasi Bernama.

“Apa yang dimaksudkan ialah semakin tinggi tarif, semakin rendah tahap ekonomi NRW itu. Berdasarkan tarif semasa, pasukan NRW Air Selangor menganggarkan tahap tersebut berada sekitar 23 hingga 24 peratus.”

Kajian mengenai pengurusan kehilangan air turut menunjukkan kekangan sama. Kajian Universiti Teknologi Delft pada 2020 mendapati sejumlah kehilangan air tetap akan berlaku walaupun dalam rangkaian yang diurus dengan baik dan baru dibina.

Selepas satu tahap tertentu, syarikat utiliti masih boleh terus mengurangkan kehilangan air, namun kosnya mungkin melebihi manfaat yang diperoleh.

Di Malaysia, isu itu juga berkait rapat dengan pembiayaan. Nota analisis sektor Bank Islam pada Disember 2025 menyatakan kekangan tarif memperlahankan pelaburan semula dan menyebabkan operator air berdepan kekurangan hasil tahunan, yang dianggarkan RM1.2 bilion.

Nota itu turut menyatakan penggantian paip usang kekal sebagai langkah paling penting untuk mengurangkan NRW.

Pada masa sama, kos akibat NRW sendiri kekal tinggi. Nota BIMB Securities pada May 2025 menganggarkan operator air di Malaysia kerugian sekitar RM2 bilion setahun akibat NRW.

Namun bagi Adam Saffian, pengurangan NRW perlu diterjemahkan kepada pengalaman pengguna yang lebih baik.

“Contohnya, kita kata kadar NRW cuma lima peratus. Tetapi, bila balik rumah dan buka paip, kita tengok tiada air. Jadi pada pengguna, angka itu tidak bermakna,” katanya.

Justeru, katanya, Air Selangor cuba mengesan paip pecah sebelum pengguna menyedari gangguan bekalan.

Kebocoran paip masih beban utama

NRW bukan hanya melibatkan satu jenis kehilangan air. Ia merangkumi kebocoran fizikal daripada paip, kehilangan komersial berkaitan meter dan bil, serta air yang digunakan tetapi tidak dibayar. Namun, tidak semua bentuk kehilangan ini sama tahap kesukarannya untuk dikurangkan.

Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam. Foto Facebook Air Selangor

Bagi Air Selangor, cabaran paling sukar ketika ini ialah kebocoran fizikal daripada rangkaian paip itu sendiri.

“Disebabkan kami beroperasi di tiga kawasan, kami mengurus rangkaian paip yang luas dengan lingkungan usia yang berbeza. Itu menjadikannya lebih terdedah kepada kebocoran,” kata Adam Saffian.

Setakat 2025, utiliti itu menguruskan 31,817km paip di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Menurut Adam Saffian, skala keluasan rangkaian itu sendiri antara faktor yang menjadikan kebocoran fizikal lebih sukar ditangani berbanding bentuk NRW lain.

Beliau berkata isu berkaitan meter lebih mudah ditangani menerusi program penggantian dan semakan dalaman, manakala kes kecurian serta penggunaan haram boleh dibendung melalui penguatkuasaan.

Sebaliknya, kebocoran bawah tanah jauh lebih sukar dikesan, lebih mahal untuk dibaiki dan bergantung rapat kepada keadaan rangkaian paip sedia ada.

“Setiap tahun, kami mengesan sekitar 200,000 kebocoran di kawasan perkhidmatan kami,” katanya.

Data Air Selangor menunjukkan sebanyak 257,448 kebocoran dikesan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang 2024.

Air Selangor turut memperluas penggunaan zon pemeteran daerah atau district metering zones (DMZ) bagi memantau tekanan air dan mengesan kebocoran dengan lebih cepat.

Menurut Adam Saffian, liputan DMZ ketika ini sekitar 80 peratus dan disasarkan meningkat kepada sekurang-kurangnya 95 peratus menjelang 2028.

“Apabila kami mengesan kehilangan air, kami akan memasang sensor dalam DMZ yang dikenali sebagai PLNCL atau Permanent Leak Noise Correlating Logger. Apabila berlaku kebocoran, alat itu akan mengeluarkan bunyi yang membantu kami mengenal pasti lokasinya,” katanya.

Kaedah itu membantu Air Selangor mengenal pasti lokasi kebocoran dalam rangkaian paip dengan lebih pantas.

Buku panduan Manager’s Non-Revenue Water Handbook terbitan 2008, yang sering menjadi rujukan industri utiliti, menyatakan pengurusan kebocoran yang berkesan lazimnya bergantung pada empat teras utama: pengurusan tekanan, pembaikan yang cepat dan berkualiti, kawalan kebocoran secara aktif serta pengurusan saluran paip atau aset.

Dalam erti kata lain, pengurangan kebocoran jarang bergantung pada satu langkah sahaja.

Paip lama masih membebankan sistem

Usia rangkaian sedia ada turut menjelaskan mengapa masalah NRW masih berterusan. Sebahagian daripada rangkaian paip Air Selangor agak usang, malah ada berusia 90 tahun. Ada antara rangkaian lama yang masih menggunakan paip simen asbestos.

Keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada sejarah pembangunan sistem bekalan air di Lembah Klang yang bermula lebih satu abad lalu, sejak era penjajahan British. Ketika itu loji rawatan air dan empangan awal dibina bagi menyokong pertumbuhan pusat bandar. Walaupun kebanyakan sistem lama telah diganti, masih terdapat komponen infrastruktur lama yang kekal digunakan hingga kini.

Petugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melakukan kerja pembaikan paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang pada 20 Disember 2020. Foto Facebook Air Selangor

Adam Saffian berkata sistem Air Selangor masih menggunakan banyak paip lama.

“Kami masih mempunyai banyak paip seperti itu kerana sebahagian rangkaian kami dibina sejak zaman British. Saya pernah melawat satu lokasi yang mengalami kebocoran paip simen asbestos. Apabila paip itu dibuka, tahun pembuatannya masih jelas tertera padanya.

“Tahu tahun berapa? 1915,” katanya.

Daripada anggaran 6,000km paip simen asbestos yang asalnya terdapat dalam sistem, sebanyak 1,089km sudah diganti, meninggalkan kira-kira 5,000km masih digunakan.

Pengagihannya dalam rangkaian tersebut juga tidak sekata. Kuala Lumpur merekodkan bahagian terbesar paip simen asbestos yang masih digunakan, iaitu sekitar 1,481km daripada baki 5,000km itu, atau kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jumlah.

Air Selangor berkata paip simen asbestos dalam sistemnya lazimnya direka untuk bertahan sekitar 30 hingga 40 tahun, bergantung pada keadaan pemasangan, persekitaran tanah dan tekanan operasi. Namun, kebanyakan paip yang masih digunakan kini sudah melepasi jangka hayat tersebut dan dianggap sebagai aset usang.

Apabila paip ini semakin berusia, strukturnya menjadi lebih rapuh dan lemah, menjadikannya lebih mudah retak dan pecah, meningkatkan risiko kebocoran serta kehilangan NRW, selain kurang mampu menampung turun naik tekanan dan beban luaran. Keadaan itu turut meningkatkan kos operasi dan penyelenggaraan, sekali gus menjejaskan kecekapan rangkaian serta prestasi perkhidmatan.

Menurut Air Selangor, kerja penggantian dilaksanakan secara berperingkat dan tertumpu pada bahagian rangkaian berisiko tinggi.

Ini termasuk paip lama atau dalam keadaan uzur, kawasan yang kerap mengalami kebocoran dan paip pecah, serta saluran kritikal atau sensitif terhadap tekanan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada sejumlah besar pengguna jika kerja pembaikan dijalankan.

Kadar pelaksanaannya pula bergantung pada peruntukan perbelanjaan modal tahunan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Paip lama ini lazimnya diganti dengan bahan lebih baharu seperti besi mulur, polietilena berketumpatan tinggi dan keluli lembut, yang secara umumnya direka untuk bertahan sehingga 50 tahun atau lebih.

Walaupun masih berdepan rangkaian paip yang besar dan berusia, data Air Selangor menunjukkan jumlah kes paip pecah bagi setiap 100km setahun menurun daripada 13.52 pada 2018 kepada 3.25 pada 2024.

Namun, mengenal pasti titik lemah dalam rangkaian hanyalah sebahagian daripada cabaran. Walaupun paip lama dapat dikenal pasti lebih awal, kerja membaiki atau menggantikannya dalam rangkaian yang besar tetap memerlukan masa, kos dan perancangan rapi.

Teknologi bantu kesan kebocoran lebih awal

Teknologi seperti pemantauan mengikut zon, sensor akustik dan analisis data yang lebih pantas membantu utiliti mengesan kebocoran lebih awal.

Antara tumpuan utama ialah meningkatkan pemantauan rangkaian secara berterusan supaya penurunan tekanan dapat dikesan lebih awal dan paip pecah dapat dikenal pasti sebelum pengguna melaporkan gangguan bekalan.

Kerja kecemasan insiden paip pecah Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang mencapai tahap 74 peratus setakat jam 12 tengah hari 19 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor

Menurut , sistem pemantauan seperti itu sudah digunakan di satu kawasan perkhidmatan, terutama di Sepang.

Beliau berkata Air Selangor juga sudah melabur besar dalam pendigitalan dan kini serta pembelajaran mesin bagi mempercepat proses analisis. Buat masa ini, inisiatif itu masih di peringkat pembuktian konsep (proof-of-concept).

“Buat masa ini, petugas kami perlu mengumpulkan data daripada sistem dan membuat analisis secara manual, dan proses itu boleh mengambil masa sehingga seminggu. Tetapi dengan AI dan pembelajaran mesin, kawasan yang berkemungkinan mengalami kebocoran boleh dikenal pasti dengan lebih cepat. Jika secara manual memerlukan seminggu, dengan AI – hanya sehari,” katanya.

Namun, penggunaan teknologi tidak mengubah hakikat bahawa kerja membaiki dan menggantikan paip lama masih menelan kos yang tinggi.

Data Air Selangor menunjukkan kos untuk memastikan rangkaian terus berfungsi semakin meningkat. Perbelanjaan pembaikan dan penyelenggaraan meningkat daripada RM328.74 juta pada 2020 kepada RM531.92 juta pada 2024.

Adam Saffian berkata Air Selangor kini menggantikan sekitar 300km paip setiap tahun dengan kos antara RM460 juta hingga RM480 juta. Menurut beliau, kerja penggantian itu amat mencabar terutama di kawasan bandar padat kerana melibatkan kawasan pembangunan sedia ada di Selangor dan Kuala Lumpur yang bukan sahaja mahal, malah turut mengganggu aktiviti harian penduduk.

Nota BIMB Securities pada May 2025 pula menganggarkan setiap pengurangan 1 peratus NRW memerlukan pelaburan antara RM800 juta hingga RM1 bilion, sekali gus menambah tekanan terhadap peruntukan sedia ada.

Program penggantian paip Air Selangor dilaksanakan setiap tahun sejak 2016 dan ditingkatkan kepada sekitar 300km setahun bermula 2024. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 400km setahun mulai 2034, tertakluk pada pembiayaan dan keupayaan pelaksanaan.

Itulah antara sebab NRW masih sukar dikurangkan walaupun bagi syarikat utiliti air terbesar negara. Cabarannya kini bukan lagi sekadar menurunkan kadar NRW, tetapi memastikan rangkaian lama terus berfungsi sementara kerja penggantian paip dijalankan secara berperingkat di bawah jalan raya, kawasan perumahan dan kawasan perindustrian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.