Indeks Kehidupan Bermaruah jadi asas kelayakan bantuan Selangor

13 Nov 2026, 11:57 AM
Indeks Kehidupan Bermaruah jadi asas kelayakan bantuan Selangor

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan membangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah sebagai kayu ukur baharu bagi menyesuaikan syarat kelayakan rakyat menerima bantuan menerusi program Iltizam Kita Selangor Penyayang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan indeks berkenaan yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) tahun hadapan.

Menurutnya, indeks itu bertujuan menentukan lantai pendapatan yang diperlukan rakyat Selangor untuk menjalani kehidupan secara bermaruah, sekali gus mengalihkan tumpuan daripada ukuran kemiskinan semata-mata.

"Tekad ini dinyatakan kerana kita mahu Selangor beralih daripada garis ukur kemiskinan kepada garis ukur kehidupan bermaruah.

“Tidak memadai untuk program pemberdayaan rakyat hanya menggunakan paras ukur kemiskinan tegar, kemiskinan mutlak ataupun kemiskinan relatif sebagai prestasi sebuah kerajaan sekiranya keperluan sebenar rakyat tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, pembangunan indeks yang digariskan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) itu mencerminkan perubahan dasar Kerajaan Negeri dalam menilai keperluan sebenar rakyat.

Jelasnya, kehidupan bermaruah bukan sekadar kemampuan menyewa rumah, membayar bil elektrik atau menikmati bekalan air bersih, sebaliknya turut mengambil kira penyertaan aktif rakyat dalam kegiatan ekonomi dan sosial.

Pendekatan itu, katanya, selaras dengan konsep Development as Freedom yang diketengahkan oleh Amartya Sen, yang menekankan kepentingan kebebasan substantif dalam kehidupan rakyat.

"Kerajaan Negeri bersedia menyediakan peruntukan tambahan sekiranya perlu bagi meningkatkan had kelayakan penerima berdasarkan penanda aras baharu itu," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.