14 projek pembangunan pantai tangani risiko hakisan, air pasang

13 Nov 2026, 9:02 AM
14 projek pembangunan pantai tangani risiko hakisan, air pasang

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 14 projek pembangunan pantai akan dilaksanakan di beberapa daerah di Selangor dengan peruntukan RM6.45 juta menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi menangani risiko hakisan pantai dan air pasang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan merangkumi kerja pengukuhan benteng di kawasan berisiko khususnya di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang dan Klang.

“Kerja kejuruteraan perlu berjalan seiring dengan perlindungan ekosistem. Paya bakau membantu melindungi kawasan pesisir manakala hutan di kawasan tadahan membantu mengawal aliran air.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut membangunkan projek kredit karbon dan biodiversiti dengan peruntukan RM2 juta berdasarkan hasil kajian serta matlamat pemuliharaan kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Kerajaan Negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 31 peratus daripada keluasan tanah negeri diwartakan sebagai hutan simpan menjelang 2030 bagi memastikan kelestarian kawasan hutan dan ekosistem semula jadi.

Sasaran itu selaras dengan Misi Kelima RS-2 bertemakan Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik yang menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar serta daya tahan terhadap perubahan iklim.

Misi berkenaan merangkumi lima bidang keutamaan, iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana; pemeliharaan dan biodiversiti; teknologi hijau dan bandar rendah karbon; pengurusan sisa dan ekonomi kitaran; serta keterjaminan air.

Pelaksanaannya turut memberi tumpuan kepada pengurusan sumber asli secara bersepadu, peluasan penggunaan tenaga boleh baharu dan pengukuhan ekonomi kitaran bagi mengurangkan sisa serta pencemaran.

Sementara itu, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merekodkan litupan hutan sebanyak 31.7 peratus pada 2023, selain purata kadar kitar semula sebanyak 7.7 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.