
SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 8,400 unit komputer riba akan diagihkan kepada generasi muda di seluruh Selangor pada 2027 menerusi inisiatif Laptop Kita Selangor dengan peruntukan RM16.8 juta.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan itu melibatkan 150 unit komputer riba bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan anggaran kos RM2,000 seunit.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan akses generasi muda kepada peranti digital bagi membolehkan mereka membina kemahiran dan memanfaatkan peluang hasil kemajuan teknologi.
“Dalam usaha menggapai potensi dunia digital, Kerajaan Negeri menyedari kepentingan supaya membina masyarakat yang celik digital dan mampu menyambut peluang yang wujud hasil kemajuan teknologi.
“Realitinya, seorang akan hanya mampu meneroka potensi sepenuhnya hanya dengan akses kepada kemudahan aplikasi perisian dan peranti digital seperti laptop,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, ketiadaan komputer riba menyukarkan golongan muda membina keupayaan digital mereka.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri mengambil langkah menyediakan kemudahan berkenaan bagi membantu generasi muda meneroka potensi dunia digital.







