
SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 2,201 Projek Selangor Penyayang (PSP) diluluskan bagi tempoh 2022 hingga 2026, membabitkan peruntukan keseluruhan RM129.3 juta.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan merangkumi 464 projek menaik taraf jalan, longkang dan parit, selain penyediaan 352 kemudahan sukan.
Katanya, sebanyak 434 projek penambahbaikan rumah ibadat dan 175 projek membabitkan institusi pendidikan turut diluluskan dalam tempoh berkenaan.
Kerajaan Negeri juga meluluskan 79 projek mengecat semula pangsapuri kos rendah bernilai RM34.3 juta di 44 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
"Manfaat pembangunan turut diperluas kepada masyarakat luar bandar dan Orang Asli menerusi 17 projek di kampung Orang Asli, selain kerja menaik taraf balai penghulu di 47 mukim seluruh Selangor.
"Pelaksanaan projek berkenaan merekodkan kadar penyiapan sebanyak 99.4 peratus bagi kitaran yang dilaporkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan "Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni" di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Bagi meneruskan manfaat kepada masyarakat, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta untuk pelaksanaan PSP pada tahun hadapan.
"Keutamaan diberikan kepada penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan awam, pembangunan infrastruktur komuniti serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi," katanya.
PSP yang diperkenalkan pada 2022 merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat dimanfaatkan masyarakat.










