Selangor salur pinjaman RM250 juta bangunkan WTE 3

13 Nov 2026, 10:47 AM
Selangor salur pinjaman RM250 juta bangunkan WTE 3

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan pinjaman RM250 juta kepada anak syarikatnya, Worldwide Holdings Berhad (WHB) bagi membangunkan Loji Sisa kepada Tenaga ketiga (WTE 3) di Tanjung Dua Belas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata loji yang turut dilengkapi fasiliti pemulihan bahan kitar semula itu berupaya menghasilkan biogas daripada sisa organik menggunakan teknologi pencernaan anaerobik.

“Menerusinya, Selangor dapat mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah yang terbukti membawa kesan mudarat terhadap alam sekitar.

“Strategi pelaburan Kerajaan Negeri ini dijangka membawa pulangan sehingga RM52 juta dalam tempoh lima tahun dan meningkatkan kemampuan negeri untuk meneruskan program pemberdayaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, WTE 1 mula beroperasi pada 13 Mei lalu, manakala WTE 2 di Jeram dijadual memulakan operasi pada suku pertama 2027.

Menurutnya, kedua-dua loji itu akan mencapai kapasiti pengurusan 3,000 tan sisa sehari dan berupaya menjana tenaga elektrik sebanyak 52 megawatt.

“Kedua-dua projek ini dibangunkan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu WHB susulan kejayaan membangunkan Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) yang dibiayai oleh pelaburan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Kerajaan Negeri Selangor.

“Hasil daripada pelaburan tersebut, Kerajaan Negeri dijangka menerima hasil dividen terkumpul sebanyak RM38.3 juta dengan kadar 5.5 peratus setahun bagi tempoh lima tahun, selaras dengan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan negeri kepada hasil tanah,” katanya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyarankan Kerajaan Negeri memberi lebih tumpuan kepada penerokaan teknologi WTE sebagai pendekatan moden dan mampan dalam menangani isu pengurusan sisa.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan pandangan itu selepas berkenan melawat Amager Bakke atau CopenHill, sebuah loji jana kuasa haba dan elektrik berasaskan sisa di Copenhagen, Denmark.

Selangor sebelum ini mencipta sejarah apabila loji WTE pertama negeri yang juga terbesar di Asia Tenggara, Jeram 1, mula beroperasi secara rasmi pada 12 Mei lalu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.