Masjid Wira Damai dinaik taraf ke Masjid Pengurusan dengan peruntukan RM462,000

13 Nov 2026, 10:37 AM
Masjid Wira Damai dinaik taraf ke Masjid Pengurusan dengan peruntukan RM462,000
Masjid Wira Damai dinaik taraf ke Masjid Pengurusan dengan peruntukan RM462,000

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak RM462,000 diperuntukkan tahun depan bagi menaik taraf Masjid Kompleks Islam Wira Damai, Gombak sebagai Masjid Pengurusan bagi memperkukuh tadbir urus dan pengimarahan institusi berkenaan.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penaiktarafan itu bertujuan memastikan pengurusan masjid dilaksanakan secara lebih sistematik, berstruktur dan profesional bagi memenuhi keperluan kariah yang semakin meningkat.

"Bagi memperkasakan tadbir urus dan pengimarahan institusi masjid di kawasan berkepadatan tinggi, Kerajaan Negeri bersetuju menaik taraf masjid dalam Kompleks Islam Wira Damai, Gombak sebagai Masjid Pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menurut Amirudin, peruntukan itu akan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan, keselamatan serta pengurusan operasi masjid secara berstruktur.

"Penarafan ini disusuli dengan sokongan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan, keselamatan serta pengurusan operasi secara berstruktur demi memastikan rumah Allah SWT ini beroperasi secara efisien, selamat, dan selesa buat seluruh kariah setempat," katanya.

Jelasnya, pemberian status Masjid Pengurusan itu turut mengambil kira keperluan menyediakan perkhidmatan yang lebih tersusun kepada masyarakat Islam di kawasan berkepadatan tinggi berkenaan.

Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.