Pusat data: Bekalan air tidak terjejas susulan pengurusan, kawalan sumber kukuh - MB

16 Okt 2026, 11:27 AM
Pusat data: Bekalan air tidak terjejas susulan pengurusan, kawalan sumber kukuh - MB
Pusat data: Bekalan air tidak terjejas susulan pengurusan, kawalan sumber kukuh - MB
Pusat data: Bekalan air tidak terjejas susulan pengurusan, kawalan sumber kukuh - MB

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Bekalan air di Selangor setakat ini belum terjejas secara ketara susulan pembangunan pusat data berikutan pengurusan dan kawalan sumber air yang kukuh, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor kini turut menjadi tumpuan pelaburan pusat data selepas Johor sebelum ini muncul sebagai antara destinasi utama bagi pembangunan kemudahan berkenaan.

“Kita belum melihat kesan ketara terhadap bekalan air kerana kita mempunyai pengurusan dan kawalan bekalan air yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Belanjawan Selangor 2027 bersama agensi negeri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika Sesi Libat Urus Projek Berimpak Tinggi Bagi Penyediaan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2027 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, Amirudin berkata permintaan pelaburan pusat data perlu diseimbangkan dengan keupayaan negeri menyediakan sumber air yang mencukupi dan memastikan bekalan mampan untuk kegunaan lain, termasuk penduduk.

“Kita tidak boleh terus menggalakkan semua pusat data masuk ke negeri ini tanpa had. Mesti ada had, dan had itu bergantung pada kapasiti bekalan air kita.

“Jika bekalan air tidak mencukupi, kita tidak akan dapat meluluskan pembangunan pusat data berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan mengenai keperluan air pusat data dan penerimaan penduduk terhadap kemudahan itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga perlu meneroka sumber air alternatif, termasuk air mentah untuk kegunaan industri. Namun, usaha itu memerlukan kos tinggi kerana melibatkan pembinaan saluran paip dan infrastruktur berkaitan.

Dalam sesi libat urus berkenaan, Kerajaan Negeri turut mencadangkan model pembiayaan yang menghendaki pengendali pusat data membiayai pembangunan loji rawatan air tambahan sebagai pertukaran kepada jaminan bekalan air untuk jangka panjang.

Cadangan itu berpotensi meningkatkan kapasiti bekalan air secara keseluruhan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.