Selangor tidak benarkan bina pusat data tanpa bekalan air, tenaga mencukupi

13 Ogos 2026, 12:33 PM
Selangor tidak benarkan bina pusat data tanpa bekalan air, tenaga mencukupi

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor tidak akan meluluskan pembangunan pusat data baharu di kawasan yang tidak mempunyai kapasiti bekalan air dan tenaga mencukupi untuk menampung keperluan industri berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu menjadi dasar jelas Kerajaan Negeri dalam menilai kemasukan industri pusat data ke Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

“Pusat data bukan dibina sesuka hati. Ia harus mempunyai kepastian bekalan air dan tenaga yang mencukupi. Jika tidak ada bekalan air, kita tak benarkan walaupun agak banyak jumlah pusat data yang masuk mutakhir ini.

“Dasar kita sangat jelas, kalau kita tak ada air, kita tak benarkan pusat data masuk. Mereka boleh cari di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menurut Amirudin, Selangor mempunyai kekuatan dari segi margin rizab bekalan air menerusi perancangan penambahan kapasiti termasuk Labohan Dagang Fasa 2 dan pengembangan Langat 2 Fasa 2.

“Saya sebutkan bahawa margin rizab kita sangat terkawal malahan apabila Rasau disiapkan nanti, kadar margin rizab kita akan mencecah 18 peratus,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman meninjau sekitar kawasan loji rawatan air di Labohan Dagang, Banting pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya, Air Selangor juga diyakini mampu memenuhi keperluan bekalan air berdasarkan pelan perniagaan serta pertambahan unit domestik, komersial dan industri.

“Dengan terbitan sukuk bernilai RM10 bilion oleh Air Selangor, kita yakin pelan perniagaan, peningkatan tarif yang diumumkan serta pertambahan unit domestik dan komersial atau industri menyebabkan kita bukan sahaja mampu membayar hutang, malah mencatatkan keuntungan buat pertama kalinya,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dasar 30 peratus bagi memberi peluang kepada syarikat tempatan menjadi pembekal kepada pusat data.

Katanya, dasar itu pada peringkat awal tidak akan mengehadkan penyertaan kepada syarikat yang berpangkalan di Selangor sahaja bagi memastikan jumlah syarikat pembekal yang layak mencukupi dan tidak menjejaskan keupayaan industri pusat data.

“Kita tak hadkan di Selangor dulu, kita buat syarikat tempatan dulu sebab kalau kita hadkan di Selangor jumlahnya juga agak terhad dan ini akan memberikan satu tekanan pula untuk meneruskan keupayaan pusat data,” katanya.

Dato Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Perdagangan, Ng Sze Han (empat kanan) bergambar bersama ketika gimik perasmian Topping Out Ceremony of Chery Smart Auto Industrial Park Fasa 1 di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 25 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Mengambil contoh syarikat Cherry, beliau berkata syarikat berkenaan telah menggajikan 100 pekerja tempatan dengan gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.

“Cherry juga memaklumkan bahawa 300 syarikat tempatan telah memperoleh nilai kontrak yang dianggarkan RM1.2 bilion,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.