
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta tahun depan bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf aset miliknya, termasuk membaik pulih kuarters kerajaan yang usang.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen Selangor untuk memastikan aset dan kemudahan sedia ada terus terpelihara, selamat serta berada dalam keadaan kondusif.
Menurutnya, penyelenggaraan secara berterusan bukan sahaja dapat memanjangkan jangka hayat aset kerajaan, malah membantu menjimatkan kos dalam jangka panjang.

"Penyelenggaraan secara berterusan bukan sahaja memanjangkan jangka hayat aset kerajaan, malah mampu menjana penjimatan dalam jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin berkata pembangunan negeri bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu, sebaliknya turut memerlukan usaha berterusan untuk menjaga dan mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada.
Mengulas pelaksanaan tahun ini, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM9 juta bagi kerja penambahbaikan balai penghulu di sembilan daerah di Selangor.
Setakat Oktober, sebanyak 47 mukim menerima manfaat menerusi inisiatif itu dengan kemajuan pelaksanaan mencapai 94 peratus, melibatkan kos kira-kira RM7.74 juta.
"Langkah ini juga bertujuan memastikan kemudahan pentadbiran terus berfungsi dengan baik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kecekapan penyampaian kerajaan kepada rakyat," katanya.







