
SHAH ALAM, 13 NOV: Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) diteruskan dengan peruntukan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi membantu ibu bapa berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah menampung kos pendidikan prasekolah anak berusia lima hingga enam tahun.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi skim berkenaan setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan bagi meringankan perbelanjaan pendidikan awal anak.
"Pentadbiran ini sentiasa memahami bahawa ibu bapa terpaksa menanggung beban kos pra-sekolah anak-anak di peringkat yang lebih awal berbanding generasi sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan dengan tema 'Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Beliau berkata peruntukan berkenaan bagi memastikan kanak-kanak di Selangor tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan awal hanya disebabkan kekangan kewangan keluarga.
Sejak diperkenalkan pada 2012, TUNAS telah memberi manfaat kepada 21,236 ibu bapa sehingga 2023.







