Enakmen Perbadanan Metropolitan Selangor akan dibentang, selaras pentadbiran empat bandar raya

13 Nov 2026, 12:00 PM
Enakmen Perbadanan Metropolitan Selangor akan dibentang, selaras pentadbiran empat bandar raya

SHAH ALAM, 13 NOV: Enakmen Perbadanan Metropolitan Selangor akan dibentang bagi menyelaraskan dan menyeragamkan urusan pentadbiran empat bandar raya utama negeri ini, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Empat bandar raya terbabit ialah Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang yang membentuk koridor Lembah Klang Raya serta menempatkan hampir separuh daripada keseluruhan penduduk Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor bertujuan mengoptimumkan proses dan prosedur urusan rakyat serta perniagaan, selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selaras dengan konsep bandar raya, ini merupakan detik yang tepat untuk keempat-empat majlis bandar raya meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat secara lebih efisien, responsif dan bertanggungjawab.

"Proses dan prosedur urusan rakyat serta perniagaan di keempat-empat bandar raya ini akan diseragamkan dan dioptimumkan melalui penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor, selaras dengan hasrat Lembah Klang Raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin berkata enakmen berkenaan akan dibentangkan untuk dibahaskan Ahli Dewan Negeri bagi membolehkan pentadbiran keempat-empat bandar raya mengguna pakai amalan terbaik yang dilaksanakan di negara maju.

"Usaha ini diharap dapat memastikan penduduk Selangor menikmati perkhidmatan awam yang lebih cekap dan efisien," katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Tindakan Lembah Klang Raya 2035, termasuk membentangkan enakmen baharu bagi merealisasikan hasrat mewujudkan bandar metropolitan pertama negara.

Lembah Klang Raya diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2024 pada November 2023 dengan peruntukan RM2 juta bagi menggabungkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata Lembah Klang Raya berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara, sekali gus meletakkan kawasan itu dalam kelompok lima lembah utama di Asia.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.