551 sekolah agama akan dilengkapi CCTV, RM2 juta baik pulih KAFAI

13 Nov 2026, 9:25 AM
551 sekolah agama akan dilengkapi CCTV, RM2 juta baik pulih KAFAI

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 551 sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu bagi meningkatkan keselamatan murid serta mencegah kejadian buli dan pencerobohan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM500,000 menerusi Inisiatif Sekolah Agama Selamat menggunakan peruntukan sedia ada JAIS.

“Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita di sekolah agama adalah keutamaan yang tidak boleh dilengahkan.

“Memelihara nyawa dan keselamatan anak-anak ini sesungguhnya salah satu usaha menzahirkan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih 292 Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFAI) yang uzur di seluruh Selangor pada 2027.

Menurutnya, Bantuan Khas Baik Pulih itu akan diselaraskan JAIS bagi memastikan kemudahan dan prasarana sekolah agama berada dalam keadaan selamat serta kondusif.

“Anak-anak di Sekolah KAFAI berhak menuntut ilmu dalam persekitaran yang selamat, selesa, dan kondusif.

“Ikhtiar ini membuktikan kebertanggungjawaban kita untuk memastikan prasarana institusi pendidikan agama di Selangor sentiasa berada pada tahap yang selamat, terpelihara, dan bermaruah,” katanya.

Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.