Selangor sasar pasang 5,000 CCTV di lokasi awam menjelang 2030

13 Nov 2026, 9:25 AM
Selangor sasar pasang 5,000 CCTV di lokasi awam menjelang 2030

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi awam seluruh Selangor menjelang 2030 bagi memperkukuh keselamatan rakyat menerusi penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI).

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu membabitkan penambahan 3,000 unit CCTV daripada kira-kira 2,000 unit sedia ada, selaras aspirasi menjadikan Selangor sebagai negeri bandar pintar.

"Lebih daripada sekadar pemantauan visual, sistem CCTV baharu ini turut mengintegrasikan teknologi analitik pintar, AI serta data Digital Twin Negeri Selangor bagi membolehkan pemantauan persekitaran bandar secara menyeluruh dan masa nyata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertema "Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni" di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Bagi merealisasikan inisiatif berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta tahun depan sebagai sebahagian usaha memperluas jaringan CCTV di seluruh negeri.

Amirudin berkata pendekatan bersepadu itu dijangka meningkatkan keupayaan mengesan insiden lebih awal, memperkukuh keselamatan rakyat serta mempercepat tindakan susulan.

"Pelaksanaan inisiatif ini juga dapat memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan data, sekali gus menyokong pengurusan bandar yang lebih cekap, selamat, responsif dan mampan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.