
SHAH ALAM, 13 NOV: Bantuan air percuma, Skim Air Darul Ehsan (SADE) diteruskan tahun depan, dengan RM20 juta kos pembiayaan ditanggung Kerajaan Negeri manakala selebihnya oleh Pengurusan Air Selangoor Sdn Bhd (Air Selangor).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat September lalu, SADE memanfaatkan 373,366 penerima yang menikmati bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu secara bulanan.
“Bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri telah melaksanakan SADE, yang memberikan bantuan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM6,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan Selangor 2027 di sini hari ini.
Mulai 1 Ogos tahun lalu, Amirudin mengumumkan had kelayakan pendapatan isi rumah untuk memohon SADE dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Setiap penerima menerima manfaat potongan bil bagi 20 meter padu air pertama.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali memaklumkan pihaknya menyasar 500,000 penerima layak menikmati air percuma 20 meter padu menerusi skim tersebut.
Bermula 1 September 2025, tarif air di Selangor dilaraskan tetapi tiada kenaikan untuk isi rumah yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan. Caj kekal 65 sen setiap meter padu seperti sebelum ini.
Langkah tersebut bertujuan menjamin kelestarian bekalan jangka panjang selain memastikan golongan sasar menerima bantuan.
Air Selangor yang membekal air kepada lebih 9.6 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membuat pelarasan itu mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).







