SHAH ALAM, 10 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) tidak menemukan sebarang bukti atau pengakuan yang menyokong dakwaan seorang pemandu lori kutipan sisa domestik meminta makanan percuma daripada peniaga di Taman Andalas, Klang.
Syarikat itu memaklumkan siasatan awal dijalankan sejurus menerima maklumat berhubung dakwaan yang tular di media sosial bagi mendapatkan fakta dan penjelasan daripada pihak terlibat.
Menurut KDEBWM, satu sesi pertemuan dan semakan turut diadakan bersama subkontraktor kutipan sisa domestik bagi KKD 55, Suhana Ismail Enterprise di Pejabat KDEBWM Cawangan Klang, semalam.
“Berdasarkan hasil semakan dan penjelasan yang diberikan, pihak subkontraktor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut serta menegaskan pemandu lori terlibat tidak pernah meminta, memaksa atau mengugut mana-mana penduduk atau peniaga untuk memberikan makanan percuma, sedekah makanan atau sebarang bentuk sumbangan sebagai syarat bagi pelaksanaan perkhidmatan kutipan sisa domestik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
KDEBWM berkata subkontraktor berkenaan turut memaklumkan perkhidmatan kutipan sisa domestik di Taman Andalas sentiasa dilaksanakan mengikut jadual operasi serta prosedur kerja yang ditetapkan tanpa sebarang syarat, tuntutan atau permintaan kepada penduduk.
Katanya, bagi membersihkan nama baik pemandu yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut, pihak subkontraktor telah mengarahkan individu berkenaan membuat laporan polis sebagai rekod rasmi penafian.
“Setakat siasatan awal yang dijalankan oleh KDEBWM, tiada sebarang bukti atau pengakuan yang menyokong dakwaan seperti yang telah ditularkan di media sosial. Bagaimanapun, KDEBWM akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersedia menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat maklumat baharu yang dikemukakan,” katanya.
Dalam pada itu, KDEBWM menegaskan komitmennya untuk memastikan semua petugas, subkontraktor dan pihak terlibat dalam operasi kutipan sisa mematuhi standard integriti, profesionalisme serta etika kerja yang ditetapkan.
“Sebarang aduan yang diterima daripada orang awam akan disiasat secara telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan mutu perkhidmatan serta kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan pengurusan sisa sentiasa terpelihara,” katanya.
Pada masa sama, KDEBWM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham serta menjejaskan reputasi individu dan organisasi terlibat.






