
SHAH ALAM, 13 NOV: Selangor meneruskan usaha peralihan kepada ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif tenaga boleh diperbaharui, termasuk pembangunan hidrogen hijau, hidrokuasa kecil serta solar terapung.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu akan diperkukuh menerusi Selangor Agenda for Green Economy (SAGE).
Jelasnya, hab hidrogen hijau Batang Kali di bawah projek Selangor Hidrogen Oriented Resource (SHORE) disasar siap pada 2027, manakala tiga loji hidrokuasa kecil menerusi SEL-Hydro di Kerling Atas, Kerling Bawah dan Batang Kali dijangka menyediakan kapasiti tenaga keseluruhan 11.6 megawatt (MW) pada tahun sama.
“Di samping memperkukuh perlindungan terhadap kesan perubahan iklim, Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha peralihan kepada ekonomi rendah karbon melalui SAGE” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata Rancangan Selangor Kedua (RS-2) turut menggariskan penyediaan inventori gas rumah kaca dan peningkatan kecekapan tenaga di bangunan milik kerajaan negeri bagi mengukur pelepasan serta menilai keberkesanan tindakan yang diambil.
Katanya, Heliosel Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan meneruskan program Renewable Energy for Water (RENEW) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 2027.
“Sejumlah 20.9MW kapasiti baru solar terapung berserta 48MWj Battery Energy Storage System (BESS) dijangka mula beroperasi pada penghujung 2027 di Loji Rawatan Air Labohan Dagang melalui skim Net Zero,” katanya.
Jelasnya lagi, setakat September lalu, sebanyak 41 loji janakuasa solar telah beroperasi di aset-aset Air Selangor dan berjaya mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 19,411 tan pada tahun ini.
Selain itu, empat lagi loji selesai dibina sepenuhnya dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
“Loji Net Zero di Loji Rawatan Air Sungai Labu merupakan loji rawatan air pertama di Malaysia yang berkeupayaan beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata dalam sektor pengangkutan, projek SEL-EV menyasarkan penyediaan 4,000 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 bagi menyokong peralihan kepada mobiliti rendah karbon.
Sementara itu, katanya program SELKitar dalam sektor pengurusan sisa telah meliputi lebih 380,000 rumah di sembilan daerah dan berjaya mengumpulkan lebih 6.3 juta kilogram bahan kitar semula.
“Cadangan rangkaian hab pemulihan bahan akan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada hala tuju ekonomi kitaran negeri.
“Kerja bagi jalan penyambung ke kemudahan sisa kepada tenaga di Tanjung Dua Belas pula merupakan komponen prasarana akses.
“Kejayaan agenda ini perlu dinilai melalui keupayaan kita mengasingkan bahan yang masih boleh dimanfaatkan dan mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan,” katanya.








