Selangor bangunkan Kampus Robotik, perkukuh ekosistem semikonduktor

13 Nov 2026, 8:51 AM
Selangor bangunkan Kampus Robotik, perkukuh ekosistem semikonduktor

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri merancang membangunkan Kampus Robotik pada tahun depan, sebagai pentas ujian reka bentuk litar bersepadu cip yang disertakan aplikasi robotik serta sistem automasi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu sebagai pelengkap kepada usaha di IC Design Park Fasa 1 dan 2, melibatkan peruntukan RM8.75 juta daripada negeri selain sumbangan peruntukan RM17.5 juta daripada kerajaan Pusat.

“Malaysia Semiconductor IC Design Park Fasa 1 dan 2 telah berjaya menempatkan 20 syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor reka bentuk litar bersepadu di Selangor dan menawarkan peluang bergaji tinggi kepada 407 jurutera.

“Keberhasilan usaha ini telah meningkatkan kepercayaan generasi muda terhadap dasar negeri dan membolehkan seramai 626 graduan dilatih kleh Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 dengan tema 'Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 150 pelajar cemerlang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diberi peluang menjalani program ijazah sarjana muda selama empat tahun di universiti rakan strategik di China.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama ASEM akan bekerjasama dengan MSEF Social Enterprise untuk menamping kos biasiswa secara padanan melalui tiga fasa pengambilan seramai 50 pelajar setiap tahun, dengan peruntukan RM300,000.

“Selain daripada meneroka peluang baharu untuk memadankan kemahiran graduan tempatan dengan keperluan terkini syarikat perusahaan, Kerajaan Negeri turut berikhtiar melahirkan pelapis berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Januari lalu, Media Selangor melaporkan Selangor bakal menghasilkan cip tempatan pertama menerusi pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu dengan kerjasama syarikat semikonduktor terkemuka, Arm Holdings Plc (ARM).

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh industri semikonduktor dan menjadikan Selangor hab reka bentuk cip utama negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.