Selangor peruntuk RM500,000 perkasa kemahiran penjaga tidak formal

13 Nov 2026, 8:28 AM
Selangor peruntuk RM500,000 perkasa kemahiran penjaga tidak formal

SHAH ALAM, 13 NOV: Kemahiran individu yang menggalas tanggungjawab menjaga golongan memerlukan diberi perhatian menerusi peruntukan RM500,000 bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Kompetensi Penjaga Tidak Formal Negeri Selangor tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu bertujuan melengkapkan penjaga dengan pengetahuan dan kemahiran bersesuaian bagi memastikan golongan di bawah jagaan mereka menerima penjagaan berkualiti.

Katanya, peranan penjaga tidak formal merupakan antara komponen penting dalam ekosistem ekonomi penjagaan yang bukan sahaja memerlukan kemudahan dan peralatan mencukupi, malah keupayaan individu yang mengendalikan tugas berkenaan.

"Penjaga merupakan antara komponen terpenting dalam ekosistem ekonomi penjagaan.

"Kualiti penjagaan seseorang individu tidak hanya bergantung pada kemudahan dan peralatan yang disediakan, malah turut dipengaruhi oleh tahap pengetahuan, kemahiran dan keupayaan individu yang melaksanakan tanggungjawab penjagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas majlis penutup Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, program itu mula diperkenalkan tahun ini dengan memberi tumpuan kepada latihan dan peningkatan kemahiran penjaga.

Inisiatif berkenaan turut dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian dan penyedia latihan menerusi penyediaan kursus berkaitan penjagaan serta bantuan yuran kepada peserta yang bersesuaian.

Belanjawan Selangor 2027 bertemakan 'Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' memperuntukkan RM3.3 bilion bagi tahun depan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.