
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi Bantuan Peralatan Penjagaan Negeri Selangor tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu meningkat RM150,000 berbanding RM350,000 tahun ini, bagi membantu keluarga mendapatkan peralatan khusus untuk menjaga warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ahli keluarga uzur.
"Penjagaan ahli keluarga yang uzur, warga emas dan OKU memerlukan penggunaan peralatan khusus bagi membantu kehidupan harian, mobiliti dan keselamatan.
"Inisiatif ini menyediakan bantuan peralatan penjagaan sehingga RM2,000 bagi setiap penerima untuk membantu keluarga dan penjaga mendapatkan peralatan yang diperlukan bagi menyokong keperluan penjagaan di rumah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurut Amirudin, program yang diperkenalkan tahun ini menyasarkan seramai 150 penerima.
"Peningkatan jumlah peruntukan bagi memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai keluarga memerlukan," katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion bagi tahun depan.







