SHAH ALAM, 13 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerja penyelenggaraan sungai dan parit dilaksanakan lebih agresif bagi mengurangkan risiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, arahan itu antara perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan Anwar semalam.
Menurutnya, perdana menteri turut menekankan kepentingan kerjasama semua agensi berkaitan bagi mempercepat kerja penyelenggaraan dan pelaksanaan projek mitigasi banjir.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL akan berterusan sehingga Mac depan, jadi segala usaha untuk buat kerja pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilakukan dengan segera.
“Perdana menteri juga mahu semua projek mitigasi banjir segera atau quick win perlu diselesaikan dengan cepat bagi menangani keresahan orang awam terhadap kejadian banjir berulang,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan Anwar di bangunan Parlimen petang semalam.
Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim serta wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Fazlisyah berkata Anwar turut menegaskan supaya tindakan menangani banjir dapat dipercepatkan, termasuk menerusi teguran agar proses pelaksanaan projek tidak mengambil masa terlalu lama.
Katanya, pemantauan terhadap pelaksanaan setiap projek dan kerja penyelenggaraan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap serta tersusun bagi memastikan segala perancangan berjalan mengikut sasaran.
Mengulas aspek operasi menghadapi banjir, beliau berkata Anwar tidak memberikan sebarang teguran khusus, sebaliknya perbincangan lebih tertumpu kepada usaha mitigasi bagi menangani masalah banjir.
“Perdana menteri tegas dalam hal ini. Prosedur perlu diikuti tetapi proses kerja perlu dibuat secara tersusun. PBT dan agensi teknikal perlu menggembleng tenaga bersama. Projek yang menambah risiko, perlu dielakkan.
“Dari segi operasi seperti pemindahan penduduk, tiada komen daripada perdana menteri. Ini kerana fokus mesyuarat terarah kepada mitigasi menangani masalah banjir,” katanya.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan empat tindakan utama diberi penekanan bagi menangani masalah banjir berulang di Selangor, termasuk memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan penyelarasan pengurusan bencana serta mencari penyelesaian terhadap banjir kilat.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Amirudin berkata, langkah tersebut turut merangkumi penelitian terhadap amalan terbaik pengurusan banjir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sementara itu, Anwar turut menegaskan kepentingan penyelenggaraan sungai, parit, sistem saliran, kolam tadahan dan pintu air bagi memastikan semua kemudahan berfungsi dengan baik.
Beliau turut mengarahkan semua agensi berkaitan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, mempercepat pembersihan saliran tersumbat serta memperkukuh pemantauan paras air.









