SHAH ALAM, 3 NOV: Sebanyak 65 kawasan di Selangor dikenal pasti sebagai titik panas banjir berdasarkan rekod kejadian sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh setahun, sekali gus menjadi tumpuan agensi penyelamat ketika menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah APM Selangor, YS Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata, kesemua titik panas itu dikenal pasti berdasarkan data teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, manakala pihaknya turut memantau lebih 200 lokasi lain yang berisiko dilanda bencana, khususnya kawasan yang berpotensi mengalami kenaikan paras air.

“Angka ini belum termasuk lagi dengan lokasi yang kerap berlakunya banjir kilat. Jika dicampur, lebih banyak lagi kawasan yang akan menjadi tumpuan kita.
“Bagi APM dan agensi lain yang berada bawah pengurusan bencana, tumpuan kami lebih terarah dan difokus kepada lokasi titik panas yang dikeluarkan JPS bagi kerja menyelamat atau sebagainya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Mengulas punca kejadian banjir, Fazlisyah berkata hujan berintensiti tinggi antara faktor yang boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak, selain perubahan corak cuaca.
Menurutnya, kejadian banjir sukar diramal kerana boleh berlaku secara mengejut, terutama apabila kawasan tertentu menerima hujan lebat dalam tempoh singkat.
“Sebab banjir ini dinamik, mengejut dan boleh berlaku bila-bila tanpa dijangka. Antara faktornya disebabkan intensiti hujan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses urbanisasi dan pembangunan boleh mempengaruhi risiko banjir, khususnya apabila sistem saliran tidak diselenggara dengan baik.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana ia merupakan keperluan masyarakat, sebaliknya penduduk perlu turut memainkan peranan mengurangkan risiko banjir dengan menjaga kebersihan persekitaran.
“Kita tak boleh salahkan pembangunan kerana ia keperluan. Tambahan lagi Selangor merupakan negeri yang pesat membangun. Tapi kita boleh libatkan masyarakat untuk pastikan saluran air tidak tersumbat hingga mengundang banjir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim minggu lalu memaklumkan 70 peratus daripada 255 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menerusi langkah segera (quick win) di Selangor telah siap dilaksanakan, membabitkan peruntukan hampir RM70 juta.
Baki 30 peratus projek masih dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Projek yang memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir kilat itu dilaksanakan menerusi kerjasama JPS, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, beberapa PBT turut melaksanakan inisiatif mitigasi banjir di kawasan pentadbiran masing-masing. Antaranya, Majlis Bandaraya Subang Jaya yang menambah baik infrastruktur bagi mengurangkan kesan banjir kilat.
Usaha itu dilaporkan mampu mengehadkan tempoh banjir kilat kepada 15 minit meskipun kawasan berkenaan menerima hujan ekstrem dengan corak hampir sama seperti insiden besar pada 2019.








