KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan mitigasi banjir secara reaktif kepada pelaburan lebih besar dalam pencegahan, berikutan negara berdepan risiko iklim yang semakin meningkat, kata perunding bebas alam sekitar dan iklim Ahmad Afandi Nor Azmi.
Beliau berkata walaupun kerajaan terus membelanjakan berbilion ringgit untuk projek mitigasi banjir, penekanan perlu diberikan kepada langkah jangka panjang bagi mengurangkan pendedahan dan kerentanan sebelum bencana berlaku.
Ahmad Afandi berkata sebahagian besar perbelanjaan mitigasi banjir ketika ini digunakan untuk menangani masalah setempat akibat perancangan bandar dan kawalan pembangunan yang lemah, berbanding menangani risiko iklim daripada puncanya.
Menurut Ahmad Afandi, kehilangan kolam takungan banjir akibat pembangunan dan aktiviti pembalakan yang menyebabkan pemendapan kelodak di sungai boleh mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air banjir, sekali gus menyebabkan projek mitigasi digunakan untuk menangani masalah yang timbul akibat perancangan yang kurang baik, bukannya menangani secara langsung kesan perubahan iklim.
Beliau berkata demikian pada program The Nation terbitan Bernama TV dalam episod bertajuk “Is Malaysia Ready For The Climate Risks Ahead?” di Wisma Bernama hari ini.
Ahmad Afandi berkata penekanan sebaliknya harus diberikan kepada usaha melindungi aset semula jadi seperti hutan tadahan air, paya bakau dan ruang hijau yang mampu menyediakan perlindungan lebih mampan serta kos efektif terhadap ancaman berkaitan iklim.
Beliau berkata Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) memberi insentif kira-kira RM250 juta setahun kepada negeri untuk melindungi hutan, paya bakau dan aset semula jadi lain manakala projek mitigasi banjir menerima berbilion ringgit dengan peruntukan mencecah RM11 bilion pada satu peringkat.
“Jadi, bayangkan jika 10 peratus daripada jumlah itu disalurkan kepada EFT bagi memberi insentif kepada negeri untuk memulihara hutan tadahan air dan paya bakau. Ia akan memberikan pulangan yang lebih baik dan membantu menjimatkan lebih banyak wang pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian berasaskan alam juga mampu memberikan manfaat melangkaui perlindungan banjir, termasuk pemuliharaan air, jaminan makanan dan perlindungan biodiversiti, selain mewujudkan peluang untuk menarik pelaburan swasta dalam usaha pemuliharaan.
Pada peringkat bandar, Ahmad Afandi mencadangkan peruntukan tahunan khusus bagi melaksanakan projek perintis dan membangunkan “bandar span”, yang direka bentuk untuk menyerap serta menakung air hujan, berbanding bergantung semata-mata kepada sistem perparitan dan kawalan banjir konvensional.
Beliau berkata pendekatan itu akan membolehkan kawasan bandar berfungsi selari dengan aliran air semula jadi dan meningkatkan keupayaan menguruskan taburan hujan lebat.
Selain infrastruktur fizikal, Ahmad Afandi berkata Malaysia juga perlu menaik taraf sistem amaran awal daripada amaran generik kepada komunikasi berasaskan impak yang menyediakan maklumat khusus dan boleh diambil tindakan oleh masyarakat.
Menurut Ahmad Afandi, amaran teks atau WhatsApp ketika ini mungkin memaklumkan penduduk bahawa kawasan dalam radius lima kilometer dari sungai berisiko dilanda banjir, namun tidak semestinya menjelaskan perkara yang mungkin berlaku atau tindakan yang perlu diambil.
“Anda tidak boleh sekadar mempunyai sistem amaran atau maklumat, sebaliknya perlu mengadakan latihan,” katanya, sambil menegaskan kepentingan latihan kesiapsiagaan bencana secara berkala berasaskan komuniti.
Ahmad Afandi berkata persepsi risiko juga perlu berubah, terutamanya dalam kalangan komuniti yang sebelum ini kurang mengalami bencana besar.
“Orang yang sebelum ini tinggal di kawasan yang lebih selamat menganggap keadaan itu baik-baik sahaja tetapi masyarakat di Pantai Timur mungkin lebih bersedia. Jadi, persepsi risiko itu perlu diubah,” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh mengambil iktibar daripada inisiatif kesiapsiagaan berasaskan komuniti dan latihan bencana berkala yang dijalankan di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.







