SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 15 projek mitigasi banjir secara segera (quick win) dengan anggaran kos RM6.5 juta dicadang dilaksanakan di beberapa kawasan berisiko di Sabak Bernam.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata cadangan itu antara perkara yang diberi perhatian menerusi Mesyuarat dan Lawatan Kerja Penilaian Infrastruktur ke Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), petang semalam.
Katanya, Pelan Mitigasi Banjir Sabak Bernam turut diteliti bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), khususnya bagi mengenal pasti keperluan di 11 kawasan yang sering berdepan risiko banjir.
“Sebanyak 11 kawasan berisiko dikenal pasti termasuk Kampung Nelayan Sungai Besar, Kampung Belia 2, Kilometer 33 Jalan Sungai Panjang, KDR Rimba serta beberapa lokasi di Sekinchan dan Sepintas,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, antara langkah mitigasi segera yang dicadangkan termasuk pembinaan stesen pam bergerak, pemuliharaan ban serta pengukuhan benteng pantai di lokasi yang dikenal pasti berisiko.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Izham berkata cadangan pembinaan rumah pam bagi sistem saliran kawasan pengairan Panchang Bedena dengan anggaran kos RM10.22 juta turut diberi perhatian.
“Selain itu, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam Fasa 3 bernilai RM15 juta turut dicadangkan bagi menangani masalah banjir secara lebih menyeluruh,” katanya.
Dalam lawatan sama, beliau turut menilai beberapa isu infrastruktur lain termasuk keadaan jalan dan jambatan serta projek yang sedang dilaksanakan dan dirancang di daerah berkenaan.
Antaranya Projek Membina Jalan dan Jambatan Sungai Air Tawar yang kini dalam pembinaan, cadangan pembinaan jejambat di Persimpangan Sepintas serta kerja menaik taraf Jambatan Bagan Sungai Besar.
Turut diberi perhatian ialah cadangan menaik taraf Jalan B44 Sungai Panjang dan Jalan B55 Pekan Sungai Air Tawar.
Izham berkata penilaian di lapangan penting bagi memastikan setiap isu dikenal pasti dengan tepat sebelum tindakan susulan dirancang.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur dan keselamatan penduduk di Sabak Bernam,” katanya.







