Belanjawan Selangor 2027: KoHijrah harap koperasi terus diperkasa

13 Nov 2026, 2:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: KoHijrah harap koperasi terus diperkasa
Belanjawan Selangor 2027: KoHijrah harap koperasi terus diperkasa
Belanjawan Selangor 2027: KoHijrah harap koperasi terus diperkasa

SHAH ALAM, 13 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) berharap sektor koperasi terus diperkasa dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi menyokong rancangan pembangunan serta memperluas peluang perniagaan anggotanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail berkata pihaknya mempunyai beberapa rancangan pembangunan yang memerlukan sokongan Kerajaan Negeri, termasuk dari segi peruntukan bagi melaksanakan usaha berkenaan.

Menurut beliau, antara rancangan itu termasuk pembinaan kemudahan penyimpanan sejuk (cold storage), pusat pengumpulan hasil bagi memperkukuh rantaian bekalan serta pemasaran produk usahawan koperasi.

“Semestinya kita mempunyai beberapa rancangan untuk tambahan peruntukan. Tetapi tambahan yang kita minta itu selaras dengan rancangan yang kita sedang cipta.

“Dimana hari ini kita sudah mula bina pusat pengumpulan hasil, cold storage, mengembangkan perniagaan dan sebagainya.

“Saya yakin Kerajaan Negeri serta kerajaan Persekutuan memantau dan melihat perkembangan kami, sekali gus mempertimbangkan untuk memberi (peruntukan) kepada koperasi sebagai satu keutamaan,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif KoHijrah, Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail. Foto SOFIA NASIR/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Mohammad Syukri berkata usaha memperkasa sektor koperasi bukan sahaja mampu meningkatkan peluang ekonomi anggota, malah berpotensi menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negeri.

Katanya, pembangunan infrastruktur dan sokongan peruntukan yang bersesuaian diyakini dapat membantu memperkukuh rantaian bekalan serta pemasaran hasil makanan di Selangor.

“Di Kohijrah, kita ada 10,000 anggota dimana mereka merupakan dalam kumpulan usahawan. Jadi jika peruntukan belanjawan diberikan kepada koperasi, ia sedikit sebanyak membuka ruang untuk kita melebarkan produk koperasi dan anggota.

“Ia membantu 'market local to local' (pasaran tempatan) itu sendiri, bukan sahaja dalam sektor pertanian dan ternakan, malah 'end product' (hasil akhir) itu sendiri,” katanya.

KoHijrah yang ditubuhkan pada 2016 merupakan koperasi pengguna dan keusahawanan Selangor yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi usahawan mikro serta komuniti setempat.

Antara inisiatif yang ditawarkan termasuk sokongan perniagaan menerusi pembekalan kenderaan saji (food truck) mampu milik kepada anggotanya serta pembangunan rantaian bekalan makanan.

Belanjawan Kita Selangor 2027

Ada cadangan untuk Belanjawan Selangor 2027?

Kongsikan pandangan anda bersama kami. Suara anda penting untuk masa depan Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.