
SHAH ALAM, 24 NOV: Tindakan tujuh Ahli Dewan Negeri (ADN) memilih untuk berkecuali dalam undian belah bahagi Belanjawan Selangor 2027 disifatkan tidak wajar kerana kepentingan rakyat perlu mengatasi perbezaan politik.
ADN Seri Serdang Abbas Azmi berkata Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) seharusnya menjadi platform untuk semua wakil rakyat membahaskan usul serta menilai kepentingan setiap peruntukan.
Menurutnya, perbezaan ideologi politik perlu diketepikan dan semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat khususnya dalam menangani isu banjir yang memerlukan kerjasama serta tindakan berterusan Kerajaan Negeri.
“Tindakan berkecuali itu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menidakkan usaha Kerajaan Negeri khususnya dalam menangani isu banjir yang menjejaskan penduduk di beberapa kawasan.
“Perkara utama adalah menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat termasuk bencana banjir. Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menunjukkan komitmen untuk turun padang ke kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abbas turut menyenaraikan tujuh ADN yang berkecuali dalam undian berkenaan iaitu Paya Jaras (Dato’ Dr Ab Halim Tamuri); Sijangkang (Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi); Sungai Ramal (Mohd Shafie Ngah); Sabak (Sallehen Mukhyi); Semenyih (Nushi Mahfodz); Ijok (Jefri Mejan) dan Hulu Bernam (Mu’izzuddeen Mahyuddin).
Beliau turut menegaskan kawasan seperti Ijok yang berdepan masalah banjir kritikal memerlukan perhatian serta bantuan berterusan daripada Kerajaan Selangor bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dan kebajikan penduduk yang terjejas terus diberi keutamaan.
Sementara itu, ADN Meru, Mariam Abdul Rashid berkata Belanjawan Selangor 2027 bukan hanya melibatkan peruntukan pembangunan malah merangkumi keperluan pengurusan kerajaan termasuk pembayaran gaji, elaun, bonus dan emolumen penjawat awam.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan tujuh ADN memilih untuk berkecuali sebagai tidak adil kerana keputusan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kelulusan belanjawan yang turut melibatkan kepentingan penjawat awam dan rakyat.
“Kami membantah tindakan berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab memandangkan belanjawan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
Semalam, media melaporkan persidangan DNS kecoh susulan isu tujuh ADN pembangkang yang didakwa berkecuali dalam undian belah bahagi Belanjawan Selangor 2027 pada minggu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.









